HALAMAN SANTAI

Isnin, 21 September 2015

Boleh kata 'saya CEO' depan ALLAH nanti?

Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh
Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM


SHAH ALAM - Manusia dilalaikan dengan pangkat dan harta di dunia, tetapi apakah di akhirat kelak kita mampu mendabik dada mengatakan 'saya CEO' depan ALLAH?

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Zawawi Nik Salleh berkata, meskipun pihak berkuasa tidak nampak kesalahan kita, malah kita boleh menipu manusia lain, namun ALLAH Maha Melihat.

"Apabila kita abdikan diri terhadap ALLAH, seolah-olah kita nampak ALLAH. Kita di pejabat, keseorangan kita tetap nampak ALLAH. SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tak nampak, ALLAH nampak. Mahkamah kita boleh tipu, ALLAH kita tidak boleh tipu. Dengan manusia kita boleh tipu macam-macam. Kita kata duit derma...boleh cakap.

"Tapi di padang mahsyar kita nak cakap macam itu? Orang yang bersalah kita lindungi, buat macam-macam, kuasa sana sini. Di akhirat nanti, boleh kita cakap di hadapan ALLAH, 'saya CEO, memang kuasa waktu itu diberi kepada saya untuk saya ambil banyak mana yang saya nak', boleh?," katanya ketika menjadi panel forum Diskusi 3.0 : Integriti Dan Kenegaraan, di sini, malam tadi.

Menurutnya, semua orang mahukan wang apatah lagi wang yang diperoleh dengan mudah tanpa perlu melakukan apa-apa.

"Siapa di antara manusia yang tidak mahu harta? Semua orang nak duit. Lagi mudah kita dapat, lagi kita nak. Kalau boleh, kita duduk dan duit masuk.

"Kalau depan kita RM100 boleh cakaplah. Cuba RM1 juta...mungkin RM1 juta boleh cakap lagi sebab zaman sekarang ini jumlah itu tak besar dah. Datang RM1 bilion...RM2.6 bilion, boleh cakap? Kenapa berlaku? Sebab kita tidak ada acuan.

"Siapa yang boleh tolak duit yang banyak datang depan mata walapun ia haram? Katakanlah, bahagian untuk anda 20%, 30% bahkan sampai 50%, jiwa mana yang boleh tolak? Kecuali orang yang ada akidah," katanya.

Namun katanya, jika orang yang benar-benar memahami Islam sebenar, mereka boleh membezakan antara yang halal dengan yang haram.

"Orang yang ditarbiah di dalam Islam, dia tahu yang mana halal, yang mana yang haram, yang mana hak kita, mana yang bukan. Dunia ini menipu kita, melalaikan dan perhiasan yang boleh buat manusia alpa.

"Kalau dunia ini, kita seleweng, kita tipu, kita pecah amanah, kita dapat RM2.6 bilion sekalipun, apa nilai dengan hari akhirat? Orang yang memahami prinsip ini, insya-ALLAH dia akan lahir sebagai seorang yang berintegriti," katanya.


Tiada ulasan: