shahbudindotcom
Semua
orang sedar satu-satunya sebab Salleh Tun Said Keruak dilantik sebagai
menteri ialah kerana kerajinannya membodek Najib Razak dan membelasah
Tun Mahathir Mohamad.
Beliau
yang sebelum ini merupakan Speaker DUN Sabah pada hakikatnya tiada
merit untuk dilantik menganggotai kabinet memandangnya sudah ada wakil
daripada Kota Belud dilantik sebagai menteri iaitu Abdul Rahman Dahlan,
Ahli Parlimen kawasan itu.
Berdasarkan
rekodnya sebagai pemimpin pula, pencapaiannya hanyalah sekadar
"ala-ala" saja. Jika Salleh ada wibawa tulen, pasti Najib sudah
melantiknya sejak 2009 atau selepas pilihanraya 2013 lagi dan bukan
setelah berlakunya episod perbalahan Najib dengan Tun Mahathir.
Tetapi
oleh kerana bodeknya membuatkan Najib terasak hingga ke dinding sambil
bingit telinga mendengar bodekan tanpa henti, terutama apabila berkaitan
1MDB dan Tun Mahathir, maka jalan mudah ialah dilantiklah beliau
sebagai menteri.
Maknanya,
dengan melantiknya sebagai menteri, Najib mahu lebih selesa dan bebas
bergerak daripada bodekannya yang melemaskan itu. Malangnya, bodek
Salleh berterusan lagi.
Dengan
adanya Salleh dan Abdul Rahman sebagai menteri, Kota Belud sekarang ada
dua wakil dalam kabinet Najib. Seorang sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota
Belud yang dilantik Senator dan seorang lagi atas kapasiti Ahli
Parlimen Kota Belud.
Apabila
dilantik sebagai menteri, harapan ramai tentunya ialah agar beliau
lebih terbuka dan melihat dunia ini dengan mata yang lebih luas lagi.
Tambahan lagi portfolionya ialah Kementerian Komunikasi dan Multimedia
yang dulunya adalah Kementerian Penerangan.
Sayangnya,
beliau kelihatan masih terkongkong dan seolah-olah kekal berada dalam
kepompong. Tindakannya menyalahkan pengkritik Najib yang bersalah
memainkan sentimen perkauman dan bukannya berpunca daripada Perdana
Menteri sendiri menunjukkan dirinya masih tidak dapat melihat hakikat
yang sebenarnya.
Salleh
merujuk sentimen itu dimainkan untuk menjatuhkan Najib dengan antaranya
menjadikan laporan khas Channel News Asia, komen penganalisis daripada
Singapura, Dr Ooi Kee Beng yang ditampil dalam rancangan itu serta
kenyataan Tun Mahathir sebelum ini sebagai sandaran hujahnya.
Dalam
hal ini, seharusnya Salleh tidak lupa apa reaksi Najib sebaik keputusan
pilihanraya 2013 lalu. Bukankah Najib mengatakannya sebagai tsunami
Cina?
Tidakkah
ini bermakna Najib sendiri yang memulakan dan paling awal memasang
sumbu api perkauman hanya semata-mata keputusan yang agak
mengecewakannya dalam pilihanraya lalu?
Tidak
cukup dengan itu, akhbar arus perdana turut menyimbah minyak untuk
memarakkan api perkauman dengan pertanyaan, apa lagi Cina mahu?
Tindakan
menyalahkan kaum tertentu dalam keputusan pilihanraya bukan saja
mengecewakan rakyat pelbagai kaum, malah beberapa pemimpin ketika itu
seperti Tun Abdullah Badawi, Khairy Jamaluddin dan Saifuddin Abdullah
turut tidak bersetuju dengan kenyataan Najib itu.
Dalam
himpunan baju merah pula, Najib secara jelas dan terbuka menyokong
serta memuji perhimpunan itu walaupun menyedari ia bercorak perkauman,
dengan mengatakan "maruah Melayu tidak mudah dicarik-carik" oleh kaum
lain.
Tambahnya
lagi, "sekali tampar, kita tak buat apa. Dua kali tampar, tak buat
apa...tiga kali tampar, tak buat apa...tapi empat kali tampar sudah
melampau batas. Orang Melayu ada hak juga."
Tidakkah ucapan Najib ini sepenuhnya berbau perkauman? Adakah beliau Perdana Menteri untuk Malaysia atau untuk Melayu saja?
Adakah
Najib sebenarnya faham matlamat dan tujuan perhimpunan Bersih yang
sudah diadakan sebanyak empat kali itu? Adakah ianya bertujuan "menampar
Melayu" atau untuk kepentingan negara dan berkaitan pilihanraya?
Bolehkah ditunjukkan satu daripada tuntutan Bersih yang bersifat perkauman dan telah "menampar hak-hak Melayu?"
Kepada
Salleh, jawatan tertinggi yang boleh dikecapinya hanyalah sebagai
menteri dan ia sudah pun menjadi miliknya. Jawatan Timbalan Perdana
Menteri atau Perdana Menteri di masa hadapan mungkin agak mustahil mampu
digapainya kerana lebih ramai pemimpin yang jauh lebih berwibawa sudah
pun berada di depannya ketika ini.
Dengan
itu, tidaklah perlu bodek berlebih-lebihan lagi terhadap Najib sebab
tiada apa yang boleh diberikannya lagi selepas ini. Berilah peluang
kepada orang lain yang belum ada jawatan untuk membodek pula.
Satu-satunya
cara untuk membantu imej Najib ialah dengan Salleh menunjukkan sedikit
kredibiliti melalui jawatan yang sudah diberi. Bercakaplah sebagai
seorang menteri untuk semua kaum dan jika mahu menyanggah sesuatu
perkara, tampilkan fakta yang sebenarnya, bukan berpilih-pilih.
Kalau
mahu bodek juga, sikit-sikit cukuplah! Memilih-milih fakta itu hanyalah
perbuatan macai bertaraf rendah, bukannya yang sudah menjadi menteri.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan