Tuan Ibrahim Tuan Man
SHAH ALAM - Sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang
masih berdiam diri meskipun teruk dikritik dalam Persidangan Anti Rasuah
Antarabangsa (IACC) baru-baru ini berhubung isu derma RM2.6 bilion
hanya akan terus menjejaskan negara dan nilai mata wang.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rakyat
perlu bersedia untuk berdepan kemelesetan ekonomi sekiranya situasi itu
berterusan.
“Tanpa jawapan yang memuaskan, lebih banyak spekulasi mengenai RM2.6
bilion di akaun Najib akan timbul dan hangat diperkatakan. Bukan sahaja
Najib yang kena pukul, Malaysia dan nilai ringgit turut dilanyak bersama
kerana hilangnya integriti daripada pemimpin tertinggi dan kabinetnya.
“Jika ringgit terus turun, rakyat perlu bersedia untuk menghadapi
kemelesetan ekonomi dan peningkatan inflasi secara mendadak di suku ke
keempat 2015 kerana semua barangan import telah menjadi mahal.
“Situasi ini dijangka akan diburukkan melalui risiko yang perlu diambil
untuk mengekalkan kadar faedah semalaman (OPR) untuk tidak membebankan
rakyat Malaysia yang mempunyai hutang isi rumah yang tinggi (melebihi 80
peratus daripada KDNK) dan tekanan daripada GST apabila barang-barangan
yang dikecualikan turut dikenakan GST bermula 2016,” katanya dalam satu
kenyataan, hari ini.
Selain itu katanya, wujud lima teori yang berlegar susulan keengganan
Najib berterus terang dan menjelaskan misteri di sebalik wang RM 2.6
bilion itu.
Antaranya, kemungkinan wang derma yang diberitahu Najib sebenarnya
bukan wang derma sebaliknya wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
seperti dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Teori pertama, apakah sebenarnya duit itu tidak digunakan untuk Umno?
Persoalan ini timbul kerana Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin
Yassin pun tidak tahu berapa baki yang ada di akaun tersebut ketika ia
ditutup. Jika benar duit itu telah digunakan untuk Umno dan pilihanraya,
sudah tentu Najib akan berani menjawab Muhyiddin, dan Muhyiddin tidak
akan berani bertanya begitu.
[ARTIKEL BERKAITAN: Najib dikritik di IACC memalukan, kata Rafidah]
[ARTIKEL BERKAITAN: Tidak adil dakwa Malaysia berdepan krisis rasuah]
“Teori kedua, apakah duit itu sebenarnya bukan derma? Persoalan ini
timbul kerana sehingga hari ini penderma yang berbesar hati ini masih
misteri kepada rakyat Malaysia. Spekulasi ini lebih hangat apabila
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak berani
menjawab cabaran Tun Mahathir untuk mendedahkan nama penderma tersebut
setelah Zahid mengaku telah berjumpa dengan wakil keluarga dari Asia
Barat yang mendermakan RM2.6 bilion kepada Najib.
“Jika penderma itu sanggup menderma RM2.6 bilion kepada Najib, mengapa
beliau tidak sanggup tampil membersihkan nama Najib? Tidakkah penderma
itu takut duit derma itu akan dibazirkan jika Najib jatuh nanti
sedangkan derma itu untuk Umno bukan untuk Najib? Apakah betul dakwaan
Tun Mahathir bahawa duit itu sebenarnya duit 1MDB?,” katanya dalam satu
kenyataan, hari ini.
Dalam teori berikutnya, beliau turut menyentuh soal tindakan saman
Najib terhadap Wall Street Journal (WSJ) yang dilihat masih belum
menjadi kenyataan.
“Teori ketiga, apakah ia satu kesilapan taktikal untuk menggelar RM2.6
bilion itu sebagai derma? Dana di akaun Najib didedahkan oleh WSJ pada 3
Julai 2015 yang disyaki duit 1MDB. Sebulan kemudian, barulah SPRM
berkata duit itu ialah duit derma. Sehingga kini, tidak kedengaran Najib
menyaman WSJ meskipun cerita derma ini sudah menjadi perbualan dan
lawak antarabangsa.
“Apakah ini satu kesilapan taktikal yang teruk? Oleh kerana itu,
sehingga Najib tidak berani menjawab isu RM2.6 bilion ini secara
berdepan meskipun menerima kritikan hebat di IACC di negara sendiri,”
katanya.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim mendakwa kemungkinan memang ada bukti
salahlaku ketika siasatan Pasukan Petugas Khas sehingga pasukan itu
akhirnya dibubarkan.
“Teori keempat, apakah memang ada bukti salahlaku yang dijumpai
mengenai RM2.6 bilion? Spekulasi ini juga antara terhangat diperkatakan
ekoran terbubarnya pasukan siasatan khas isu 1MDB, pemecatan Muhyiddin
dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail secara mengejut,
terbantutnya persidangan PAC, pemindahan pegawai Peguam Negara dan SPRM
yang dilakukan secara mendadak, penahanan pegawai SPRM seperti
penjenayah untuk disoalsiasat dan kebisuan Bank Negara dalam isu dana
RM2.6 bilion.
“Jika derma itu bersih dari segi tatatertib kewangan, mengapa Najib
tidak menggalakkan siasatan diteruskan? Malah, menurut Pengarah
Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Najib belum
menjelaskan kepada pemimpin Umno mengenai wang RM42 juta yang dimasukkan
ke akaun persendiriannya oleh anak syarikat SRC International.
“Teori kelima, apakah antara orang yang dapat menikmati dana RM2.6
bilion itu ialah pemilik akaun atau warisnya? Persoalan ini juga hangat
diperkatakan berdasarkan gaya hidup pasangan ini, yang digelar mewah
oleh Tun Mahathir. Apakah disebabkan ini, Najib memilih untuk membisu
kerana beliau tahu rakyat dan Umno akan lebih marah?,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan