Oleh: Ermizi Muhamad
KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu meletak jawatan atau bercuti segera ekoran siasatan dijalankan Jemaah juri persekutuan di Amerika Syarikat (AS) berhubung dakwaan rasuah membabitkannya.
Adun Bandar, Azan Ismail berkata, siasatan turut dilakukan Biro Siasatan Persekutuan Amerika (FBI) terhadap skandal 1MDB, yang meletakkan negara dalam kedudukan cukup memalukan.
“Tetapi Najib Razak tidak mengambil inisiatif tersebut sebaliknya tetap berdegil dan enggan mengambil tanggungjawab untuk berundur sementara siasatan tersebut dijalankan,” katanya ketika dihubungi.
New York Times (NYT) hari ini melaporkan barisan jemaah juri persekutuan Amerika Syarikat sedang meneliti dakwaan terhadap pembelian hartanah membabitkan Najib dan anak tirinya Riza Aziz bersama seorang ahli perniagaan, Jho Low.
Penelitian terhadap perkara itu dibuat ekoran pendedahan NYT mengenai bayaran AS$681 yang dibuat daripada bank berpangkalan di AS, yang dipercayai dimasukkan ke akaun peribadi Najib di Malaysia.
Bercakap lanjut Azan berkata, skandal membabitkan Najib Razak kini menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa dan jika dibiar akan memberi persepsi buruk kepada Malaysia.
“Keadaan ini sudah semestinya memalukan dan turut mencemarkan imej negara di mata dunia kerana Malaysia sekarang ini ditadbir oleh seorang pemimpin dan kerajaan yang korup,” kesalnya.
Dalam perkembangan sama, Azan turut menemplak kepimpinan tertinggi kerajaan yang dilihat mengambil jalan selamat untuk tidak menyatakan pendirian mereka mengenai skandal membabitkan Perdana Menteri.
“Kita gesa supaya pemimpin kerajaan yang lain juga keluarkan kenyataan dan tidak hanya ditarik hidung untuk terus berdiam diri tanpa menyatakan pendirian mereka tentang apa yang berlaku sekarang ini,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan