HALAMAN SANTAI

Ahad, 20 September 2015

Hishamudin serlah integriti tanpa rasa takut, kata bekas hakim



Bekas hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Hishamudin Md Yunus pernah meresahkan banyak pihak kerana membuat penghakiman bagi mencadangkan pindaan kepada undang-undang termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 20 September, 2015.Bekas hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Hishamudin Md Yunus pernah meresahkan banyak pihak kerana membuat penghakiman bagi mencadangkan pindaan kepada undang-undang termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari. 
 
 
Pada 2001, hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Hishamudin Md Yunus membuat keputusan mengejutkan apabila beliau membebaskan 2 ahli pembangkang yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selepas membenarkan permohonan habeas corpus mereka.

Abdul Ghani Haroon dan N Gobalakrishnan daripada Parti Keadilan dibebaskan berdasarkan bukti yang kabur serta tidak substantif yang diberikan pihak polis.
Hishamudin berkata, ia sesuatu yang amat jarang berlaku bagi seseorang untuk berjaya dalam permohonan menentang penahanan ISA.

ISA yang dikuatkuasakan pada 1960 untuk menentang ancaman komunis semasa zaman darurat dimansuhkan pada 2012. 
 
 "Penyalahgunaan ISA seperti ditunjukkan melalui fakta kes mendorong saya menyatakan secara sopan dalam penghakiman saya, yang sudah tiba masanya untuk Parlimen mempertimbangkan pemansuhan undang-undang tersebut atau setidak-tidaknya membuat pindaan untuk menghapuskan atau mengurangkan kemungkinan salah guna," katanya kepada The Malaysian Insider dalam satu temuramah selepas persaraannya pada 9 September.

Kenyataan beliau meresahkan beberapa individu berpangkat tinggi dalam kerajaan, kenang Hishamudin.
"Perdana menteri pada masa itu berkata, hakim yang 'tidak suka' ISA tidak perlu ambil kes sebegitu.

"Menteri yang bertanggungjawab hal ehwal pentadbiran kehakiman (malang sekali, antara semua orang), beliau sendirinya seorang peguam, membuat kenyataan media mengatakan luar biasa bagi seorang hakim mengeluarkan komen seperti itu," katanya.

Tan Sri Rais Yatim merupakan menteri bertanggungjawab hal ehwal undang-undang di Jabatan Perdana Menteri pada masa itu, di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mentadbir negara dari 1981 hingga 2003.

Namun, hakim bersara mahkamah tertinggi Allahyarham Tan Sri Harun Hashim mempertahankan Hishamudin, mengatakan biasa bagi hakim membuat penghakiman bagi mencadangkan pindaan kepada undang-undang atau pemansuhan undang-undang lama.

Hishamudin yang bermula sebagai majistret di Kuala Lumpur pada 1973 dan berkhidmat hampir 23 tahun di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, berkata beliau terkejut dengan serangan terhadapnya.

Bagaimanapun, beliau turut menerima sokongan dan surat penghargaan daripada pelbagai pihak, termasuk hakim yang masih berkhidmat serta yang sudah bersara.

"Tetapi yang mengharukan, kebanyakan yang menulis kepada saya adalah mereka yang saya tidak kenal dan tidak pernah temui," kata Hishamudin yang sudah menulis hampir 750 penghakiman di kedua-dua mahkamah.

Penghakiman beliau yang paling mahsyur termasuk apabila beliau menyatakan peruntukan yang menghukum lelaki Muslim yang berpakaian perempuan sebagai tidak berperlembagaan iaitu pada 2014.

Pada bulan lepas, beliau mengetuai panel hakim yang menyatakan keputusan mahkamah asal di Sabah dan Sarawak tertakluk kepada semakan semula kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Profesor Undang-undang Datuk Dr Shad Saleem Faruqi daripada Universiti Teknologi Mara, menerusi kolum beliau dalam akhbar The Star, berkata Hishamudin berkhidmat selama bertahun-tahun dengan penuh integriti, bebas tanpa rasa takut dan berpegang teguh kepada komitmen yang Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara.

"Beliau akan dikenang dengan rasa hormat oleh mereka yang percaya badan penghakiman perlu mengimbangi antara kuasa kerajaan dan hak rakyat," kata ahli akademik itu.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Seri Ram berkata, integriti tanpa rasa takut Hishamudin terserlah dalam kes habeas corpus itu, kerana beliau bertindak betul atas sebab-sebab sejarah dalam mengarahkan pegawai penjara supaya membawa 2 tahanan tersebut ke mahkamah.

"Malangnya, Mahkamah Persekutuan yang diketuai mereka yang tidak tahu skop habeas corpus itu menterbalikkan keputusan Hishamudin," kata Sri Ram, sambil menambah akan tiba masanya ada panel hakim bijaksana yang akan menegakkan semula penghakiman Hishamudin itu.

Hakim bersara Mahkamah Rayuan Datuk Mah Weng Kwai berkata Hishamudin membuat keputusan mengikut fakta dan undang-undang dan tiada faktor luaran akan dipertimbangkan beliau dalam penghakiman.

"Beliau mematuhi prinsip keadilan semulajadi dan kedaulatan undang-undang," kata Mah, menambah yang Hishamudin mungkin dapat memberi sumbangan kepada perkembangan undang-undang di Malaysia sekiranya beliau dinaikkan ke Mahkamah Persekutuan.


Tiada ulasan: