Oleh Tan Sri Zainuddin Maidin
Umno must not defeated (ini adalah jawapan kepada posting bertajuk “The time is ripe for Umno to be defeated”, 18 September, 2015).Saya sama sekali sekali tidak bersetuju dengan pendapat "Inilah masanya untuk kita mengalahkan Umno". Tidaklah kerana seekor nyamuk kita mesti membakar kelambu.
Sebaliknya inilah masanya untuk memperkuatkan semula Umno ketika kelambu parti-parti pembangkang sedang terbakar.
Jasa Umno terlalu besar kepada negara ini sejak lebih 60 tahun dahulu, tidak sahaja kepada orang Melayu tetapi juga dalam menyelamatkan bukan Melayu daripada menjadi mangsa pelampau Melayu dan Islam.
Saya kemukakan secara ringkas mengapa Umno mesti dipertahankan dan diperkuatkan semula untuk difikirkan bersama secara rasional:
1. Umno sebagai tunjang utama dengan sokongan bukan Melayu memerdekakan negara dan mengalahkan komunis, sosialis, ultra nasionalis dan ekstremis Islami yang membolehkan kerajaan menjalankan dasar pasaran bebas yang membawa negara kepada kemajuan dan kemakmuran berasaskan perniagaan bebas dan penanaman modal asing.
2. Pemerintahan pimpinan Umno mengalahkan konfrantasi Indonesia yang disokong oleh PAS, Parti Rakyat, Parti Buroh (Barisan Sosialis Rakyat Malaysia) yang mahu menjadikan Malaysia sebagai tanah jajahan Indonesia di bawah “Melayu Raya” atau gabungan Malaya dengan Indonesia bagi menyelamatkan bangsa Melayu di negara ini.
3. Menggagalkan citai-cita politik PAS untuk menegakakn negara Melayu Islam di bawah doktrin Dr Burhanuddin "kera di hutan disusui, ayam di kepok mati kelaparan" yang sekiranya berjaya akan membataskan hak orang Cina dan mengharamkan hiburan, perjudian, penjualan arak dan amalan kebudayaan bukan Islam.
4. Pimpinan Umno berjaya mewujudkan tenaga Melayu dalam berbagai bidang profesional terutama dalam lapangan perubatan dan kejuruteraan dan tenaga pengajar yang membolehkan pernubuhan pesat beberapa buah universiti di negara ini yang dapat menampung ribuan pelajar di samping penghantaran ke luar negara.
Doktor-doktor Melayu memenuhi keperluan di bandar dan di luar bandar berbanding sebelum 13 Mei 1969, hanya ada beberapa kerat sahaja siswa Melayu di Universiti Malaya. Mereka juga mendapat pasaran di luar negara.
5. Di bawah dasar liberalisme Umno, Perikatan dan Barisan Nasional (BN), parti parti pembangkang yang ekstrem; PAS, DAP menjadi realis dan menerima konsep kerjasama politik yang mendorong tolak ansur PAS dalam dasar-dasar utamanya terutama penjualan arak dan perjudian di Selangor.
6. Semakin ramai ahli PAS yang insaf dan menerima dasar pragmatisme Umno tidak mencampurkan agama dengan politik. Ini terbukti semakin ramai yang keluar PAS terutama selepas berlaku kes pernikahan sah berada dalam keadaan berzina selepas bersumpah baiah politik.
7. Kesan perkembangan dasar sosial dan politik pimpinan Umno ke atas masyarakat Malaysia menyebabkan PAS mengendurkan fanatisme dan dogmatisme agama untuk survival dan memberhentikan fatwa mengkafir.
8. Di bidang ekonomi, ramai indvidvu terlibat dalam tanaman modal dalam saham yang terjamin dalam simpanan yang besar dalam Permodalan Nasional Berhad dan Tabung Haji dengan mengaut keuntungan dan bonus yang pasti di samping mempunyai bank-bank besar dan institusi kewangan tertentu.
9. Pada keseluruhannya, Dasar Ekonomi Baru yang dikemukakan oleh bekas perdana menteri Tun Abdul Razak berjaya secara drastik menukar keturunan petani, nelayan dan pekerja kampung menjadi profesional yang dapat mengimbangi tenaga profesional di negara ini.
Bagaimanapun kegagalan politik menyebabkan pandangan kita tidak seimbang dalam melihat kemajuan orang Melayu dalam menghadapi cabaran politik daripada orang Cina.
Ini adalah kerana pimpinan Melayu yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Razak meruntuhkan tiang kekuatan dan keselamatan negara serta menjalankan kepimpinan “flip flop” yang menghilangkan keyakinan rakyat terutama orang Melayu.
Adalah suatu fahaman pimpinan Melayu yang tersesat apabila mempercayai orang Cina dapat menyesuaikan diri dengan persekitran kuasa Melayu di bawah demokrasi penuh yang dinafikan sendiri oleh Lee Kuan Yew kepada orang Cina di Singapura.
Kejayaan Singapura seperti yang dilihat oleh R. Thyevendran Tamil Representative Council Chief ialah: " This is a goverment which believes in nipping a problem in the bud. No problem is allowed to brew,fester dan grow and that' s how it has kept the peace all these years"( lihat Men In White The Untold Story of Singapore's Ruling Political Parti page 617)
Sebaliknya, kita tidak menunjukan komitmen yang bersungguh dalam perkara asas melibatkan maruah Perlembagaan negara tetapi menyerahkan kepada seorang menteri flamboyant Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz untuk menyelesaikannya daripada satu kes ke satu kes.
Umpamanya dalam soal seorang anak Cina menghina lagu Negaraku. Dia diterima menjejakkan kaki ke Parlimen dengan pakaian tidak sopan dan tidak menghormati “parlimentary decorum” malah diberikan pula bantuan untuk membuat filem dan sebagainya. Berbudi bahasa yang tak kena tempat.
Ada pula yang dibiar lari ke luar negara.
Bagaimanapun, kita tidaklah seharusnya membakar kelambu kerana seekor nyamuk. Nyamuk in tidak perlu dibunuh walaupun ia dianggap lebih merbahaya daripada nyamuk Aedes kerana masih boleh diharapkan untuk menjalankan tugas lebih besar.
Sekiranya Najib berjaya menyatukan Umno dan PAS, maka saya yakin orang Melayu akan memaafkan kesilapan-kesilapan besarnya tetapi beliau wajarlah meninggalkan kerajaan selepas menyelesaikan tugas suci dan besar ini serta menyerahkan kepada timbalannnya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempunyai pengalaman dan asas pendidikan agama yang kuat untuk memudahkan jalinan kerjasama yang mantap dengan PAS.
Orang Melayu pasti akan mengenangkan jasanya dalam meninggalkan perpaduan Melayu yang bersejarah yang tidak tercapai oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.
Saya dan beberapa orang lagi rakan wartawan bertanya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad tentang apakah yang akan terjadi jika kerjasama PBS dengan Semangat 46 disaat terakhir menjelang pilihan raya 1990 berjaya mengalahkan kerajaan BN, Dr Mahathir berkata kita akan berkerjasama dengan PAS.
Kita bertanya lagi, bagaimana sekiranya mereka tidak mahu?
"Kita yang akan meminta untuk menyertai PAS," kata Dr Mahathir. – zamkata.blogspot.com
* Tan Sri Zainuddin Maidin merupakan bekas menteri penerangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan