KUALA LUMPUR: Mayat Anthony Kevin Morais akan dituntut oleh keluarganya
daripada Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur,
Rabu ini.
Adik bongsu Timbalan Pendakwa Raya itu, Datuk Richard Morais berkata
mayat abangnya akan dibawa ke Nirvana Memorial Park di Sungai Besi, di
sini, pada 10.30 pagi hari yang sama bagi menjalankan upacara keagamaan.
"Proses ujian deoksiribonukleik (DNA) sudah selesai dan kami hanya
menunggu kepulangan abang saya Charles Morais dari Amerika Syarikat,
yang dijangka tiba pagi esok sebelum menuntut mayat mendiang Rabu ini,"
katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, Isnin.
Beliau berkata mendiang akan ditempatkan di Nirvana selama empat hari bagi upacara penghormatan terakhir.
Morais merupakan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara.
Mayat beliau ditemui dalam tong berisi konkrit di Subang Jaya, Selangor
setelah seorang daripada tujuh suspek membawa polis ke lokasi berkenaan
di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah.
Morais, 55, dilaporkan hilang pada 4 September lepas dan kali terakhir
dilihat meninggalkan pangsapuri beliau di Menara Duta, Kuala Lumpur
untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan memandu kereta Proton Perdana.
Tujuh lelaki ditahan setakat ini sementara dua lagi suspek lelaki
M.Vishwanath, 24 dan R. Dinishwaran, 22 diburu polis bagi membantu
siasatan kes pembunuhan berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan