shahbudindotcom
Timbalan
Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi sejak semalam iaitu hari Jumaat,
telah melakukan lawatan rasmi selama empat hari ke Indonesia.
Ia
adalah lawatan pertamanya ke luar negara sejak memegang posisi pemimpin
nombor dua kerajaan menggantikan Muhyiddin Yassin pada 28 Julai lepas.
Mengikut
laporan Bernama, antara aturcara lawatan Zahid ke negara jiran itu
ialah mengadakan kunjung hormat terhadap Naib Presiden Indonesia, Jusof
Kalla, menunaikan sembahyang Jumaat di Masjid Baiturrahman yang terletak
dalam kawasan Istana Wakil Presiden serta mengadakan pertemuan dengan
Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Politik, Perundangan dan Keselamatan,
Luhut Binsar Pandjaitan.
Selain
itu, Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dilaporkan turut mengadakan
pertemuan dengan Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia,
Muhammad Hanif Dhakiri.
Bagaimanapun pada Sabtu malam pula,
iaitu hari kedua lawatannya itu, telah berlangsung majlis persandingan
anak lelakinya dengan seorang gadis negara tersebut di Hotel Ritz
Carlton, Jakarta.
Di
laman sosial sejak malam tadi telah tersebar gambar dan rakaman video
pendek persandingan itu yang boleh dikira dilangsungkan dengan meriah
sekali.
Ramai
pemimpin UMNO dan kerajaan, termasuk yang berjawatan menteri dan
timbalan menteri dilaporkan turut sama menghadiri majlis persandingan
itu.
Persoalan
yang timbul ialah mengapakah lawatan rasmi Zahid ke Indonesia ini
bersamaan tarikhnya dengan majlis persandingan anak lelakinya?
Apakah ianya sekadar kebetulan, memang dirancang atau sudah begitu ketentuan Tuhan?
Bilakah
sebenarnya tarikh majlis persandingan anak lelakinya di Jakarta itu
ditetapkan dan bilakah pula lawatan rasmi ke Indonesia direncanakan?
Berapa ramaikah pegawai, kakitangan kementerian, rakan-rakan dan kaum keluarganya ikut serta dalam lawatan rasmi itu?
Bagaimanakah dengan perbelanjaan Zahid dan keluarganya ke Indonesia ini?
Adakah
ia ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, termasuk penggunaan jet rasmi
atau separuh daripadanya dibiayai wang pembayar cukai manakala separuh
lagi melalui wang poketnya sendiri memandangkan majlis perkahwinan anak
lelakinya itu merupakan acara peribadi keluarganya?
Begitu
juga dengan pegawai, kakitangan kementerian, rakan-rakan dan kaum
keluarganya yang turut ikut serta, apakah segala-galanya "ditanggung
beres" oleh kerajaan atau atas tanggungan masing-masing?
Untuk
mengelakkan fitnah dan salah faham, lebih-lebih lagi dalam dunia
ketelusan sekarang ini, adalah perlu Zahid menjelaskan semua perkara ini
secara jujur dan terbuka.
Di
ketika negara berada dalam suasana getir, rakyat sedang kesusahan dan
dibebankan dengan macam-macam kesengsaraan seperti GST misalnya,
tentulah tidak wajar beliau sebagai pemimpin, jika didapati tiba-tiba
menikmati seenaknya wang kerajaan, termasuk untuk acara yang bersifat
peribadi dan kekeluargaan.
Oleh itu, hanya penjelasan selengkapnya daripada Zahid sendiri dapat memadamkan segala tanda tanya ini.
Lebih-lebih
lagi, tidak lama sebelum ini, Perdana Menteri Najib Razak juga ketika
menghadiri majlis persandingan anak perempuannya di sebelah pihak lelaki
di Almaty, Kazashtan pada 17 hingga 19 April lalu, turut mengadakan kunjung hormat dan pertemuan rasmi dengan Presiden negara tersebut, Nursultan Nazarbayez.
Selain
Najib mengadakan lawatan rasmi ke Kazashtan ketika itu, rombongan
seramai kira-kira 250 orang, termasuk beberapa kenamaan turut menghadiri
majlis persandingan anaknya, Nooryana Najwa dengan Daniyar Kessikbayev
dan ia telah mengundang kritikan ramai kerana seolah-olah pertembungan
tarikh sengaja dipilih untuk menjadikan pemergiannya itu "ditanggung
halal" sepenuhnya menggunakan perbelanjaan kerajaan.
Apakah
Zahid juga sedemikian rupa atau adakah beliau tidak segan-segan berbuat
demikian kerana Najib sudah pun menunjukkan teladannya terlebih dahulu?
(SH 20/09/2015)
Antara perbincangan Zahid di Indonesia ialah berkaitan penyelesaian masalah jerebu.
Sebagai Menteri Dalam Negeri, Zahid juga menjelaskan mengenai sistem pendaftaran pekerja asing yang dilaksanakan di Malaysia.
Berita mengenai persandingan anak perempuan Najib dan lawatan rasminya Kazashtan turut disiarkan di media-media.
Ini
adalah antara kritikan ramai mengenai lawatan rasmi Najib ke Kazashtan
yang serentak tarikhnya dengan majlis persandingan anaknya di sebelah
pihak lelaki.





Tiada ulasan:
Catat Ulasan