PM umum pembinaan ‘Youth City’ bagi memenuhi
keperluan Gen Y dari segi peluang pekerjaan, rekreasi, segi rumah berapa
bilik dan sebagainya.
IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta golongan muda menganggap kerajaan Barisan Nasional yang memerintah negara ketika ini sebagai Rakan Gen Y.
Beliau berkata ini kerana kerajaan memahami, mengiktiraf dan akan melakukan yang terbaik untuk Gen Y di seluruh negara.
“Realitinya ialah, kalau kita hendak menentukan masa depan negara kita, maka kita perlu melakukan apa sahaja yang perlu hari ini untuk membentuk Gen Y kita supaya mereka dapat memperlihatkan jati diri yang kukuh, yang ada nilai-nilai murni dan mempunyai keupayaan untuk bersaing dan membawa negara kita ke arah kejayaan yang lebih unggul dan hebat lagi.
“Saya tidak terima bila orang kata Gen Y ni secara semula jadi bersikap antikerajaan… sebaliknya belia mempunyai potensi dan kita mesti bangunkan potensi mereka kerana inilah asas tapak untuk Malaysia yang lebih gemilang pada masa akan datang,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan ‘Silver Youth Fest’ anjuran kerajaan negeri Perak bersempena Program Tahunan Isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2015 di Taman DR Seenivasagam di Ipoh.
Najib berkata Gen Y mempunyai dua elemen penting iaitu tenaga dan dinamismeyang perlu diiktiraf dan dibawa ke saluran betul agar mereka boleh menjadi generasi yang produktif dan menyumbang ke arah kejayaan negara.
“Sehubungan ini, saya setuju bahawa pendekatan konvensional tidak boleh dilakukan dan tidak boleh diterima oleh Gen Y dan generasi muda.
Pada majlis itu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa ‘youth city’ atau bandar belia akan diwujudkan di Tanjung Malim.
“Hari ini saya nak umumkan bahawa salah satu projek perintis yang kita nak buat untuk negara kita ialah untuk mewujudkan ‘youth city’ dan salah satu daripada ‘youth city’ yang pertama kita nak buat ialah di Tanjung Malim di mana segala perancangannya kita khususkan kepada keperluan Gen Y kita dari segi peluang pekerjaan, dari segi rekreasi, dari segi rumah berapa bilik dan sebagainya.
“Youth city ini adalah cerminan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini memahami, menghayati dan mahu melakukan yang terbaik untuk Gen Y,” katanya.-BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan