KUALA LUMPUR, Kumpulan Otai Reformasi 1998 menganggap diri mereka sebegai pemantau Pakatan Rakyat selepas berlakunya perpecahan dalam parti itu.


Pengerusinya, Saari Sungip berkata, kumpulan tersebut dibentuk bagi memastikan satu pakatan alternatif mesti dikukuhkan.

Menurutnya, suasana dalam Pakatan Rakyat sudah berubah apabila Pas memutuskan hubungan dengan DAP, namun menganggap ianya adalah keputusan kolektif.

“Kumpulan ini ditubuhkan dengan hasrat untuk memastikan sekiranya Pas masih tidak menunjukkan pandangan yang jelas terhadap Pakatan Rakyat, kami mengalu-alukan sesiapa sahaja termasuk Gerakan Harapan Baru untuk menyertai kami.

“Kami akan menyokong mereka yang berada di landasan yang betul iaitu mahu menjatuhkan Umno dan sekaligus memantau Pakatan Rakyat,” katanya ketika ditemui di luar Masjid Jamek di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Hulu Kelang berkata, kini ahli kumpulan tersebut disertai 300 orang dan menjangkan keahlian seramai 1,000 orang hujung tahun ini.

Menurutnya, satu kongres akan ditubuhkan sebelum kumpulan tersebut menjadi satu Badan Bukan Kerajaan (NGO) nanti.

Kira-kira 100 ahli Otai Reformasi hadir di Masjid Jamek bagi menunaikan solat hajat supaya istiqamah iaitu tidak berpaling tadah, tidak mengkhianati rakyat dan tetap pendirian dalam perjuangan mereka.

Saari berkata, solat hajat tersebut signifikan kepada 17 tahun selepas berlakunya reformasi membabitkan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditahan pada tahun 1998.