Cukup seminggu selepas himpunan Baju Merah 16 September lalu, sekumpulan aktivis yang dekat dengan pembangkang hari ini tampil mengucapkan syabas kepada polis kerana berjaya mengawal sebuah “himpunan paling ganas”.
"Jika perdana menteri atau timbalan perdana menteri mengatakan bahawa ini adalah himpunan paling aman, maka pihak kami menyangkalnya.
“Kami merasakan himpunan ini adalah himpunan paling ganas dan paling merisaukan dan menggusarkan rakyat, terutamanya masyarakat Cina,” kata seorang penggerak Otai Reformis Mustapa Mansor.
Otai Reformis digerakkan sebagai sebuah entiti oleh kumpulan aktivis yang bangun menyatakan bantahan terhadap pemecahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri pada 1998.
Mustapa menyangkal dakwaan kumpulan Baju Merah bahawa Otai Reformis yang menjadi penyebab utama berlaku kekecohan di depan pintu gerbang Jalan Petaling, Kuala Lumpur.
"Bukti yang mereka miliki dan mereka pamerkan ke pihak media hanyalah sekeping kertas risalah yang seolah-olahnya disebarkan oleh pihak kami.
"Oleh kerana himpunan Baju Merah dibiayai oleh individu dari parti pemerintah maka segala tuduhan naif dan tidak berasas tersebut mendapat liputan luas dari media arus perdana," katanya.
Sementara itu jurucakap Otai Reformis Shaiful Ariffin berkata seramai 487 orang ahli mereka dan dan NGO lain turun untuk membantu “menjaga keamanan” pada perhimpunan itu.
Sehari selepas himpunan itu, Pengerusi Pertubuhan Majlis Jalinan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) Abdul Rani Kulup Abdullah antara pihak yang tampil membuat laporan polis.
Abdul Rani menjadikan Otai Reformis sebagai sasaran, yang didakwanya mencetuskan provokasi melalui satu rakaman video.
Katanya rakaman tersebut menggesa peserta perhimpunan baju merah tidak melalui Jalan Petaling atau akan berdepan dengan Otai Reformis.
Dalam sambutan Hari Malaysia minggu lalu, kekecohan berlaku apabila sekumpulan peserta didakwa daripada Himpunan Rakyat Bersatu cuba merempuh kawasan perniagaan di Jalan Petaling yang didominasi peniaga bukan Melayu.
Tindakan itu memaksa pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) melepaskan tembakan meriam air bagi menyuraikan mereka.
Kumpulan itu juga kelihatan membaling botol air, kon jalan selain memaki anggota pasukan keselamatan sebagai “barua Cina”. Tiga anggota polis cedera akibat ketegangan itu.
Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak bagaimanapun pada hari ini menyifatkan perhimpunan itu sebagai aman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan