KUALA LUMPUR, Pembentukan Pakatan Harapan (PH) yang tidak melibatkan PAS tidak akan memberi kesan drastik kepada Kerajaan Negeri Selangor.


Malah, kata penganalisis politik, Wong Chin Huat, pentadbiran itu akan berterusan, selagi PH atau PAS tidak ‘memecahbelahkan’ Kerajaan Negeri Selangor yang terdiri daripada wakil rakyat PAS, PKR dan DAP.

“Tiada gunanya memutuskan hubungan, kerana ia tidak menguntungkan kedua-dua pihak, sekiranya berlakunya pilihan raya kecil,” kata felo Institut Pulau Pinang berkenaan.

Senario yang mungkin berlaku di Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang ialah pertembungan beberapa penjuru, di mana PAS akan berdepan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

“Namun, ia dilihat tidak akan menjejaskan pakatan pembangkang, kerana pada PRU akan datang, ia akan melibatkan pertembungan BN dan pembangkang, di mana pengundi anti-BN akan memberi sokongan kepada parti lawan yang terkuat di kawasan masing-masing.

“Ini bermakna, parti-parti pembangkang yang lemah akan dilihat sebagai pengacau dan akan diabaikan pengundi dan PAS mungkin kalah teruk, jika mereka memutuskan untuk memainkan peranan sebagai pengacau,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Bagaimanapun katanya, jika PAS bekerjasama dengan Umno, sama ada secara berselindung atau terang-terangan, ia akan memberi mereka peluang lebih baik pada PRU akan datang.

“Datuk Seri Najib mungkin sanggup berkompromi dengan PAS, seperti menyokong pelaksanaan undang-undang syariah (hukum hudud) di Kelantan,” ujarnya.

Bagi penganalisis politik, Khoo Kay Peng, pembentukan PH menjadikan pentadbiran di Selangor sangat ‘unik’.

Namun, ia seolah-olah sesuatu yang ‘tidak masuk akal’ dan beliau tertanya-tanya mesej yang cuba disampaikan PH.

“Ia (PAS) adalah satu percanggahan dalam pembentukan PH.

“Jika Kerajaan Negeri Selangor adalah sebuah kerajaan gabungan yang terdiri daripada Exco PKR dan DAP, ia tidak boleh memuatkan parti lain yang bukan sebahagian daripada gabungan berkenaan.

“Tetapi di Selangor, kerajaan negeri terdiri daripada ahli-ahli PAS. Jadi, PH perlu bertanya kepada mereka pendirian mereka ketika ini,” katanya.

Tambahnya, jika perkara itu tidak dilakukan, ia akan menyebabkan rakyat keliru dengan tadbir urus di Selangor.

“Sebarang keputusan kerajaan perlu melibatkan persetujuan bersama dan ia agak ganjil, melainkan PAS bersetuju menyertai pakatan berkenaan,” tegasnya.

Pakatan Harapan yang ditubuhkan semalam untuk menggantikan Pakatan Rakyat, terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah, manakala PAS bertegas tidak akan menyertai pakatan baru itu.