SHAH ALAM: PAS mengesahkan tidak akan menyertai Pakatan Rakyat 2.0
namun akan meneruskan kerjasama dengan PKR untuk menentang Umno-Barisan
Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PKR masih
rakan tahaluf PAS di dalam Pakatan Rakyat sebagaimana yang telah
ditegaskan dalam muktamar.
Ujarnya, walaupun tiada kerjasama antara PAS dengan DAP mahupun Amanah,
PAS terus bersama pembangkang dalam isu yang melibatkan kepentingan
rakyat dan menentang salahguna kuasa, rasuah dan penyelewengan dana awam
terutamanya isu 1MDB kerajaan Umno-BN.
"PAS menghargai jemputan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail
dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali ke meja bulat pembangkang, namun PAS
memilih untuk tidak menghadirinya.
"PAS akan menumpukan sepenuh tenaga menguatkan jentera parti dari
segala sudut terlebih dahulu sebagai persiapan menghadapi Umno-BN di
PRU14," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau dalam pada itu berkata, perjumpaan antara PAS dan PKR akan
diadakan dari semasa ke semasa dan sentiasa menilai apa jua isu antara
kedua parti sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Presiden PAS, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang.
PAS hari ini tidak menghantar wakilnya dalam Persidangan Meja Bulat Ke
Arah Pembentukan Pakatan Pembangkang, sebagaimana yang ditegaskan parti
itu sebelum ini.
Parti itu menegaskan tidak akan hadir pada persidangan meja bulat
tersebut kerana tidak mahu bekerjasama dengan Amanah yang dianggap
'pengkhianat'.
Mereka juga menegaskan tiada keperluan parti-parti pembangkang
membentuk pakatan yang baharu memandangkan kerjasama politik itu telah
terbentuk sejak sekian lama.
Sebaliknya hanya kelihatan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar
yang hadir atas kapasitinya sendiri sebagai ahli parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan