[ULASAN] Komposisi
Rundingan Meja Bulat untuk menubuhkan sebuah gagasan politik
pembangkang yang baru Selasa lalu membayangkan betapa PKR mencatur untuk
terus menerajui politik pembangkang.
Selepas memastikan bahawa PAS, sebuah parti dominan Melayu dapat
disisihkan dari sifir politik pembangkang, PKR nampak semakin jelas mahu
terus berada di pelan pemimpin pakatan berkenaan.
Langkah pertama yang diambil oleh PKR ialah mengukuhkan kedudukannya
dalam Pakatan Harapan yang baru ditubuhkan dan kini memasuki tahap kedua
perancangannya menyediakan barisan calon yang berpotensi menang.
Antara rekrut utama yang dilakukan oleh PKR ialah menyeludup masuk
Parti Amanah Negara (Amanah) ke dalam Pakatan Harapan yang sudah
diumumkan penubuhannya.
Dalam kalangan pemimpin-pemimpin Amanah boleh dikatakan kesemua mereka
memang mempunyai akses pada pimpinan PKR di semua peringkat. Malah
hubungan ini mula dikesan semasa mereka berada dalam saf PAS lagi.
Golongan inilah yang dimaksudkan oleh bekas Naib Presiden PAS, Datuk
Hassan Ali yang menyifatkan golongan yang dipanggil Anwarinas itu
sebagai parasit politik dalam PAS.
Kini dengan “mencabut” mereka keluar PAS dan memimpin parti yang amat
mesra PKR, lebih mudahlah PKR memperkukuhkan kedudukannya dalam Pakatan
Harapan.
Selain mahu terus menerajui barisan pembangkang, mungkin juga tindak
tanduk PKR kini lebih merupakan reaksi terhadap kemajuan dan
keberkesanan DAP merekrut ahli-ahli Melayu yang berpengaruh mutakhir
ini.
Ini kerana sudah tentu PKR dapat menghidu bahawa DAP jauh lebih tangkas
menggarap isu semasa seperti 1MDB dan berupaya meyakinkan anak muda
Melayu akan wawasan perjuangannya.
Jika trend ini berterusan tidak mustahil selepas pilihanraya umum 14
kelak, DAP menguasai sekurang-kurangnya empat negeri dan mengubati
kempunannya dalam pilihanraya umum ke 12 pada 2008 tidak dapat
memerintah Perak.
Walapun mempunyai bilangan kerusi terbanyak di kalangan anggota Pakatan
Rakyat ketika itu, kerusi menteri besar terpaksa diberikan kepada PAS
kerana perlembagaan negeri mahukan penjawatnya berbangsa Melayu dan
muslim.
Bagaimanapun untuk pilihanraya ke-14 tidak mustahil DAP akan meletakkan
lebih ramai calon Melayu di negeri-negeri sasarannya dan bersedia
dengan ahli Melayu-Islam untuk diangkat menjadi Menteri Besar dengan
persetujuan Pakatan Harapan.
Keadaan sama mungkin juga berlaku di Selangor. Rekod 15 kerusi dalam
DUN Selangor besar kemungkinn akan bertambah jika DAP meletakkan
calon-calon Melayu.
Dengan pengaruh PAS mungkin merosot, tidak mustahil DAP dengan
ahli-ahli DUN Melayunya mempunyai kerusi paling banyak di kalangan
pembangkang dan tidak mustahil menteri besar Selangor akan datang dari
DAP.
Persepsi mutakhir yang agak negatif terhadap BN juga mungkin membantu
DAP menambah kerusi lebih banyak berbanding PKR dan juga Amanah di
Melaka dan Negeri Sembilan. Jika itu berlaku, PKR terpaksa akur.
Justeru demi mengelak kemungkinan itu, PKR merancang untuk mendominasi
politik Pakatan Harapan dengan mempersiapkan calon-calon yang lebih
berwibawa dan taat kepada kepimpinan.
Umum tahu betapa PKR lebih intim dengan Amanah berbanding PAS kerana
percaya Amanah mempunyai lebih ramai “winnable candidates” daripada PAS.
Justeru itu adalah penting bagi PKR “mengikat” Amanah supaya sentiasa
cenderung padanya.
Bagi mengimbangi hakikat ini, maka barisan anggota Rundingan Meja Bulat
harus diperhatikan. Nampaknya untuk pilihanraya umum ke-14 kelak, PKR
sudah mula menggembleng seluruh pengaruh politiknya.
Secara rasmi atau tidak, umum tahu betapa pemimpin Wadah, Datuk Dr
Siddiq Fadhil adalah tokoh yang menjadi ‘mursyidul am” tidak rasmi bagi
PKR. Beliau menjadi rujukan bagi PKR bagi ehwal Islam.
Adalah difahamkan bahawa tokoh akademik itu memang sudah memimpin
program perkaderan bagi tokoh-tokoh tertentu yang hendak dilonjakkan
oleh PKR dalam hirakinya sejak sekian lama.
Beliau juga dipercayai masih memimpin majlis syura Angkatan Belia Islam
(Abim) yang membolehkannya turut membantu membuat saringan terhadap
potensi dan juga kredibiliti bakal-bakal calon PKR.
Sebab itu, kecuali DAP yang memang jelas tidak cenderung pada tata-urus
soal sosial, ekonomi dan politik Islam, penyertaan NGO Islam berkenaan
dan juga Amanah membayangkan betapa PKR mahu menjadi kepala jihad
menentang BN.
Dari kalangan Amanah sahaja Anwar sudah mendapat sokongan daripada
ramai mereka yang pernah menyertai jaringan tarbiyah Abim dan Jamaah
Islah Malaysia (JIM) dan faham wawasannya.
Timbalan Penasihat Umum Amanah, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, mahupun
Setiausaha Agung Amanah, Haji Anuar Tahir, adalah penyokong kuat Ketua
Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak zaman Abim lagi.
Kini dengan gabungan Wadah, Ikram, Abim dan Amanah, PKR berasa lebih
selesa apabila rundingan meja bulat Selasa lalu mengumumkan penubuhan
Pakatan Harapan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Langkah pertama Pakatan Harapan adalah mengumumkan Ketua Umum PKR,
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri sekiranya Pakatan
Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke 14.
"Kami yakin bahawa beliau adalah di antara pemimpin yang paling sesuai
untuk menangani kemelut ekonomi, salah urus kerajaan, kebajikan rakyat,
perpaduan kaum dan krisis kredibiliti yang ditinggalkan oleh Datuk Seri
Najib," kata Wan Azizah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan