Maklumat yang tersedia di laman web
organisasi-organisasi internasional menyatakan bahawa cara yang paling
efektif untuk pembasmian penyakit anjing gila bukan pemusnahan anjing,
tetapi merupakan vaksinasi.
Oleh Carol N
Dalam beberapa hari ini, operasi pembasmian anjing liar telah mula dilakukan di seluruh negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perlis untuk mengelakkan penyebaran penyakit anjing gila. Mengikut keterangan daripada YB Lim Guan Eng, keputusan ini telah dibuat di atas rekomendasi Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV). Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Afif Bahardin, telah juga menyatakan bahawa pemusnahan anjing merupakan satunya kaedah yang efektif untuk mengelakkan penyebaran penyakit anjing gila.
Maklumat dan kenyataan seperti ini memang mengejutkan, kerana ia tidak selaras dengan informasi beberapa pertubuhan internasional termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (‘World Health Organization’ atau WHO), Perlindungan Haiwan Sedunia (‘World Animal Protection’ or WAP), dan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia OIE (‘OIE World Organization for Animal Health). Maklumat yang tersedia di laman web setiap organisasi ini menyatakan bahawa cara yang paling efektif untuk pembasmian penyakit anjing gila bukan pemusnahan anjing, tetapi merupakan vaksinasi terhadap lebih kurang 70% daripada populasi anjing liar dengan vaksin penyakit anjing gila. Ia juga tidak selaras dengan dokumen Strategi Penghapusan Penyakit Anjing Gila ASEAN (‘ASEAN Rabies Elimination Strategy’), yang dihasilkan secara kerjasama antara semua negara ASEAN termasuk Malaysia, yang menyarankan vaksinasi sebagai kaedah utama untuk penghapusan penyakit anjing gila.
Ini menimbulkan soalan mengapa JPV Pulau Pinang, Kedah dan Perlis seolah-olah tidak menghiraukan penyelidikan antarabangsa yang telah diiktiraf dan sebaliknya mengambil tindakan yang paling mudah dan tidak berkeperimanusiaan, iaitu pemusnahan beribu-ribuan anjing liar. Sebagai negara yang dikelilingi oleh negara-negara seperti Thailand dan Indonesia yang mengalami kes-kes penyakit anjing gila, apakah sebabnya JPV seolah-olah tidak bersedia langsung untuk menghadapi masalah ini dengan penyediaan stock vaksin penyakit anjing gila? Kalau diandaikan JPV memang langsung tidak mempunyai stok vaksin, apakah sebabnya JPV juga tidak berhubungan dengan pertubuhan antarabangsa yang mempunyai sumber vaksin yang cukup untuk vaksinasi semua anjing liar?
Maklumat di laman web Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia OIE menjelaskan bahawa pertubuhan ini mempunyai bank vaksin yang bertujuan untuk membekalkan vaksin penyakit anjing gila yang berkualiti tinggi dan mematuhi piawaian antarabangsa secara percuma kepada negara-negara yang memerlukannya.
Penghantaran segera boleh dibuat dalam masa 10 hari, tetapi permintaan stok ini wajib dilakukan oleh jabatan veterinar negara yang memerlukannya. Pada waktu yang sama, pertubuhan Perkhidmatan Veterinar Sedunia (‘World Veterinary Services’ atau WVS) juga mengumumkan bahawa mereka mempunyai stok vaksin anjing gila yang cukup untuk memvaksinasi 40,000 anjing liar di Pulau Pinang. Mereka telah bersetuju untuk datang ke Malaysia tetapi memerlukan masa 2-3 minggu untuk menyediakan sumber manusia, termasuk mereka yang berpengalamanan veterinari, serta logistik yang lain.
Walaupun JPV tidak mempunyai stok vaksin dan perlu memulakan proses pemusnahan haiwan, sepatutnya mereka mengambil langkah-langlah serentak untuk mendapat stok vaksin ini untuk digunakan serta-merta apabila diterima dan kegiatan pemusnahan anjing dihentikan. Dalam waktu satu minggu ini sejak JPV tiga negeri ini memulakan operasi pemusnahan anjing liar, apakah sebabnya JPV tidak membuat permohonan secara serentak kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia OIE untuk mendapat bekalan vaksin selepas 10 hari? Apakah sebabnya JPV seolah-olah tidak ingin untuk menerima tawaran WVS untuk membekalkan sumber manusia yang tersedia dengan pengalaman veterinar supaya waktu yang diperlukan WVS untuk penyediaan sumber manusia dapat dikurangkan?
Pendirian JPV seolah-olah menunjukkan kekurangan perancangan terhadap risiko penyebaran penyakit anjing gila. Ini juga menunjukkan sikap keras kepala dan keengganan untuk menerima bantuan daripada pertubuhan internasional maupun NGO kebajikan haiwan yang ingin dan mempunyai sumber untuk memulakan proses vaksinasi sementara menunggu pertolongan luar. Mentaliti bahawa pemusnahan haiwan adalah satunya cara yang efektik bertentangan dengan pendapat dan penyelidikan pakar antarabangsa, dan merupakan cara pemikiran yang tidak selaras dengan penduduk negara yang maju, tetapi negara yang masih kurang maju tidak berpengetahuan.
Seolah-olahnya JPV tidak menghiraukan langsung kebajikan haiwan, walaupun ini sepatutnya satu peranan mereka. Mungkin lebih sesuai kalau nama Jabatan Perkhidmatan Veterinar ditukar kepada Jabatan Perkhidmatan Pemusnahan Haiwan. JPV serta kerajaan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dimohon sekali lagi supaya mengambil tindakan yang lebih wajar supaya beribu-ribu nyawa anjing yang tidak berdosa dapat diselamatkan.
Carol N adalah pembaca FMT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan