Semua parti komponen BN diingatkan agar berhati-hati membuat kenyataan, lebih-lebih lagi yang melibatkan pentadbiran kerajaan.
Timbalan Presiden Pertubuhan Penyokong Barisan Nasional Malaysia (PPBNM) Dr Lee Nan Sang berkata BN kini tidak boleh membuat kesilapan kerana ia pasti akan menjadi sasaran pembangkang.
Lee (gambar) berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Pemuda MCA Pasir Gudang yang memutuskan hubungan dengan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak susulan sokongannya kepada Himpunan Rakyat Bersatu 16 September lalu.
“Bila ada sesuatu parti yang adakan boikot atau apa saja tindakan terhadap parti lain ini akan beri peluang kepada parti pembangkang untuk lawan balik dan kita akan menjadi sasaran mereka atas ketidaksefahaman dalam BN.
“Parti dalam BN harus sentiasa ingat pada semangat semasa menubuhkan BN,’ katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.
Lee mahu setiap parti dalam komponen BN berbincang terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.
Ketua Pemuda MCA Pasir Gudang Chia Chow Hui sebelum ini berkata himpunan 'Baju Merah' pada tarikh tersebut menghancurkan keharmonian kaum.
Pada Jumaat, Najib mengucapkan penghargaan terhadap peserta Himpunan Rakyat Bersatu dengan menyatakan himpunan Baju Merah berhimpun secara aman tanpa sebarang provokasi.
Himpunan itu, yang asalnya dikenali "mempertahankan maruah Melayu" itu membangkitkan pelbagai isu berkaitan masyarakat Cina.
Ia dianjurkan sebagai reaksi balas terhadap BERSIH 4 yang kebanyakannya dihadiri kaum Cina, yang mendesak Najib meletakkan jawatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan