Peguam kanan Datuk S Ambiga "tidak patriotik" kerana membuat petisyen dalam talian menggesa supaya sidang Parlimen tergempar diadakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.
Azalina, menteri yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal parlimen, berkata tidak ada keperluan untuk mengadakan sidang tergempar kerana tidak ada isu penting yang memerlukan perhatian Dewan Rakyat.
Katanya lagi, adalah tidak rasional untuk bersidang untuk mengemukan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sejak BN menguasai 132 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat, katanya.
"Saya tidak melihat rasional di sebalik langkah ini, kerana di satu sudut, kumpulan ini mengakui asas demokrasi dan kedaulatan undang-undang, manakala dari sudut yang lain, mereka menganjurkan perhimpunan haram yang boleh mencetuskan keharmonian antara kaum.
"Mengemukakan petisyen di laman web asing sudah pasti bukan satu langkah patriotik bagi menunjukkan kasih sayang mereka kepada negara ini," katanya dalam satu kenyataan.
Desakan supaya Najib meletakkan jawatan bergema di Kuala Lumpur pada 29 Ogos dan 30 apabila sekurang-kurangnya 100,000 membanjiri jalan menuntut peletakan jawatan Najib dalam perhimpunan yang dianjurkan oleh badan pemantau pilihan raya Bersih.
Ambiga adalah bekas pengerusi bersama BERSIH, tetapi petisyen sidang tergempar dibuat sebagai presiden National Human Rights Society of Malaysia (Hakam).
Petisyen, yang dimuat naik di laman web petisyen dalam talian Change.org, antara lain menuntut Najib mengambil cuti sepanjang dua siasatan dakwaan rasuah berkaitan dana RM2.6 bilion dan RM42 juta yang disalurkan ke akaun banknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan