shahbudindotcom
Nampak
tidak senang benar Ketua UMNO Bahagian Cheras, Syed Ali Alhabshee yang
tidak lama sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi PNS dengan tulisan
saya bertajuk "Tentera Siber Zahid Mula "Mengamuk"...Hahaha" bertarikh
22 September lalu yang menurut tafsirannya sebagai percubaan
melaga-lagakan atau cuba mewujudkan perselisihan antara Najib Razak
dengan Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam
tulisan itu, saya hanya membangkitkan mengenai tindakan yang saya
percaya dilakukan oleh tentera siber Zahid untuk mempertahankan "boss"
mereka di ruangan komen blog saya berkenaan satu artikel mengenai
Timbalan Perdana Menteri itu tetapi tidak pula berbuat apa-apa apabila
saya menulis mengenai Najib.
Menurut
Syed Ali, bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila seseorang
pemimpin mempunyai jentera siber yang setia, termasuk dimiliki oleh
Anwar Ibrahim juga.
Untuk
pengetahuan Syed Ali, persaingan kuasa antara pemimpin nombor satu
dengan nombor dua adalah perkara biasa dan telah beberapa kali berlaku
sebelum ini.
Di
arena politik yang lebih luas, telah lama wujud pepatah Barat yang
berbunyi "Pemimpin nombor dua adalah sahabat dalam politik tetapi musuh
dalam kuasa kepada pemimpin nombor satu."
Tiada
yang pelik dan mustahilnya jika perselisihan itu berlaku sebenarnya,
tambahan lagi dalam kedudukan Najib yang semakin tidak disukai sekarang
ini.
Dalam konteks Najib dan Zahid ini, saya ingin menanyakan beberapa soalan kepada Syed Ali:-
Tahukah
Syed Ali, sudah ada penyokong-penyokong setia Zahid ketika berbual
sesama mereka sekarang ini tidak lagi memanggilnya sebagai Timbalan
Perdana Menteri, tetapi dengan sebutan Bakal Perdana Menteri?
Jika
Syed Ali merasakan saya cuba melaga-lagakan Perdana Menteri dengan
Timbalan Perdana Menteri, beliau juga seharusnya membuat ingatan terbuka
kepada penyokong Zahid agar menghentikan segala bentuk keghairahan yang
keterlaluan dan tidak kena dengan masanya itu.
Apakah para penyokong Zahid tidak belajar langsung daripada pengalaman jatuhnya Musa Hitam dan Anwar Ibrahim sebelum ini?
Selain
itu, tahukah juga Syed Ali bahawa Zahid turut sudah bertemu dengan
bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad tidak lama setelah beliau
dilantik sebagai pemimpin nombor dua dalam kerajaan menggantikan
Muhyiddin Yassin?
Walaupun
Najib difahamkan mengetahui mengenai pertemuan itu dan diberitahu
kepadanya ia adalah atas permintaan Tun Mahathir, malah ketika seorang
VIP bertanya kepada Perdana Menteri baru-baru ini mengenai pertemuan
itu, Najib juga mengatakan ia kerana diminta oleh Tun Mahathir, soalnya
benarkah bekas Perdana Menteri itu yang berkehendakan bertemu dengan
Zahid?
Bagaimana jika sebenarnya Zahid sendiri yang ingin bertemu dengan Tun Mahathir?
Tetapi
kalau pun benar pertemuan itu atas permintaan Tun Mahathir, perlukah
Zahid memenuhinya sedangkan beliau tahu bekas Perdana Menteri itu tiada
lain matlamatnya ketika ini selain mahu menyingkirkan Najib sebagai
Perdana Menteri?
Tidak bolehkah Zahid menolak permintaan Tun Mahathir itu bagi menunjukkan taat setianya yang tidak berbelah bagi kepada Najib?
Buat
apa Zahid bertemu dengah "musuh nombor satu" bossnya sendiri sedangkan
beliau sepatutnya cuba sedaya upaya untuk menjauhinya?
Tidakkah dengan bertemu dengan Tun Mahathir itu bermakna Zahid sendiri ingin berselisih dengan Najib?

Tiada ulasan:
Catat Ulasan