SHAH ALAM: PAS menyambut baik sokongan Mufti Wilayah Persekutuan yang
menyeru semua anggota parlimen, khasnya yang beragama Islam menyokong
pindaan Akta Mahkamah Syariah (Akta 355).
Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berharap, langkah itu
akan menyemarakkan lagi usaha memahamkan masyarakat umum terhadap akta
itu.
“Semoga langkah yang diambil oleh Mufti Wilayah akan menyemarakkan lagi
usaha dalam memahamkan masyarakat umum terhadap RUU (rang
undang-undang) 355 dan bergerak senada bagi menyokong rang undang-undang
tersebut secara harmoni dan berdakwah,” katanya dalam satu kenyataan
media hari ini.
Beliau juga yakin semua mufti menyokong RUU persendirian berkaitan yang
akan dibentangkan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebagai
anggota parlimen Marang.
Ini kerana, kata Tuan Ibrahim ia sebahagian dari meningkatkan martabat Mahkamah Syariah.
“Alangkah baiknya kalau semua mufti mengeluarkan gesaan yang sama kepada semua ahli parlimen,” katanya.
Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam
"bayan linnas" (penjelasan permasalahan semasa) semalam mengupas panjang
cadangan pindaan bagi menambah bidang kuasa mahkamah syariah.
Katanya, anggota parlimen yang beragama Islam wajib menyokongnya kerana
ia dapat memartabatkan keadilan Islam dan memelihara maslahah umat
supaya terjamin dan dihormati.
Anggota parlimen bukan Islam pula, kata Zulkifli, diseru menyokongnya
kerana “ia dibentang oleh wakil rakyat yang membawa aspirasi para
pengundi Islam yang mahukan pemerkasaan Mahkamah Syariah”.
Katanya, anggota parlimen perlu menunjukkan tanggungjawab perlu
menyokong keperluan dan kebajikan rakyat beragama Islam di kawasan
parlimen masing-masing.
Beliau juga berkata isu RUU itu tidak perlu dipolitik atau dipolemikkan kerana ia “tanggungjawab semua umat Islam”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan