HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 September 2016

Ke mana perginya 2 juta yang tandatangan Deklarasi Rakyat - Ramesh Rao

 
 


Sebelum ini Deklarasi Rakyat Selamatkan Malaysia ciptaan Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa sudah berjaya mengumpul hampir dua juta tandatangan menuntut supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berundur.

Biarpun terdapat dakwaan tandatangan itu dicipta sendiri secara tidak sah tetapi mereka tetap mempertahankan jumlah berkenaan sebagai satu jumlah yang tepat.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao Krishnan Naidu menyoal ke manakah semua individu yang menandatangani deklarasi itu dan mengapa mereka tidak mahu beramai-ramai menunjukkan minat untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Kata beliau, sekiranya tandatangan yang dikumpul begitu banyak bermatlamat besar mahu Najib meletakkan jawatan, mereka sendiri akan pasti tampil menyuarakan sokongan kepada parti baru itu tetapi menyepi.

"Dua juta bukan satu jumlah yang sedikit dan ia dikatakan menggambarkan pendirian rakyat yang kononnya sudah tidak mahu lagi BN menjadi kerajaan, jadi ke mana perginya mereka semua, kenapa seorang pun tidak menyatakan minat menyertai PPBM?

"Kalau bukan semua pun, pasti ada puluhan atau mungkin ratusan ribu orang akan menyertai PPBM hasil dari deklarasi yang dianggap hebat oleh Dr Mahathir," katanya hari ini.

Malah beliau turut mempersoalkan mengapa cerita berkenaan deklarasi yang dihasilkan dengan kerjasama parti pembangkang terus hilang begitu sahaja dan kemudian diubah kepada pembentukan parti baru.

"Betapa bijaknya Dr Mahathir mengalihkan perhatian masyarakat dan media dalam hal ini apabila deklarasi itu ternyata gagal mencapai matlamatnya.

"Selepas heboh kata ada berjuta tandatangan, kemudian cerita berkenaan deklarasi senyap begitu sahaja, sunyi dan sepi... Apa sudah jadi? takkan Dr Mahathir membiarkan sahaja para penyokong deklarasi berkenaan?" bidas Ramesh Rao lagi.

Ketika ini, katanya PPBM yang dipimpin Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang dalam proses mencari ahli untuk memberikan sokongan dan mungkin undi kepada parti baru itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

"Sepatutnya, dengan tandatangan di dalam deklarasi yang dikatakan sudah dikumpulkan, tiada masalah untuk PPBM mencari ahli, mana semua, atau tandatangan sahaja yang dicuri?" tegasnya lagi.
– MalaysiaGazette


Tiada ulasan: