KUALA LUMPUR - Pakaian fesyen Jalur Gemilang diperagakan dengan bergaya oleh sebilangan hadirin di Dataran Merdeka di sini bagi menyambut Hari Kebangsaan 2016.
Antara mereka ialah pekerja swasta Jesse Erskine, 38, bersama isteri dan empat orang anaknya.
Mereka menjahit bendera negara untuk dijadikan baju dan selendang dengan mengambil inspirasi daripada pakaian yang pernah diperagakan penyanyi legenda negara (Allahyarham Datuk) Sudirman Haji Arshad ketika mendendangkan lagu keramat 'Tanggal 31 Ogos' satu ketika dahulu.
"Saya sering menonton persembahan Sudirman ketika saya kecil malah saya dibesarkan dengan lagu-lagu patriotik seperti Tanggal 31, Warisan dan Nilai Cintamu yang memaparkan semangat kemerdekaan.
"Jadi saya mahu meneruskan semangat patriotisme itu dengan membawa keluarga dan isteri saya untuk menikmati sambutan Hari Kebangsaan tahun ini," katanya kepada Bernama.
Jesse dan keluarganya yang datang ke Dataran Merdeka seawal 7 pagi berkata rekaan baju berkenaan merupakan hasil sentuhan isterinya yang turut meminati penyanyi berkenaan.
Hidayah Noordin, 27, dan sepupunya Annesyazwani Ishak, 25, pula memilih kebaya moden dan tradisional bercorakkan Jalur Gemilang.
"Tahun lepas kami hanya memakai T-shirt, tetapi tahun ini kami pakai pakaian yang melambangkan semangat patriotisme kerana ayah saya juga adalah bekas anggota pakaian seragam dan beliau menggalakkan kami memakainya," kata pegawai bank di ibu negara ini.
Muhammad Akhil Mohammad Rizal, 7, yang lengkap berbaju Melayu mengakui teruja buat pertama kali menghadiri sambutan dengan mengenakan pakaian yang dijahit ibunya.
"Baju ini baru siap semalam sebab ibu pun banyak tempahan yang perlu disiapkan," kata murid Sekolah Kebangsaan Keramat ini.
Seorang tukang jahit berketurunan Pakistan, Mohd Jamil Abd Hamid, 57, turut menzahirkan semangat patriotisme dengan memakai serban yang berlambangkan bulan sabit dan bintang yang berwarnakan Jalur Gemilang yang menjadi kemestiannya setiap tahun untuk menghadiri acara sambutan.
Bagi Anis Azira Abdul Latif, 42, bersama suami dan empat orang anaknya, mereka mengenakan baju T mempunyai Jalur Gemilang.
Mereka menaiki Komuter KTM dari Klang seawal 5 pagi.
"Kebiasaannya kami hanya menonton acara perbarisan dan perarakan di kaca televisyen. Tetapi hari ini kami begitu teruja dapat saksikan sendiri sambutan bersejarah ini bersama ribuan rakyat Malaysia lain," katanya.
Sekumpulan badut turut kelihatan lengkap bertopi dan berpakaian Jalur Gemilang yang menarik perhatian ramai yang tidak putus-putus mengambil peluang untuk bergambar kenangan dengan mereka.
Seorang daripada mereka Muhammad Munawar Mohd Nawi, 52, berkata sudah menjadi kelaziman bagi mereka apabila tiba Hari Kebangsaan, mereka akan mengenakan pakaian Jalur Gemilang.
"Tugas hakiki kami adalah untuk menghiburkan orang ramai. Tapi kali ini kami menggayakan pakaian Jalur Gemilang kerana mahu membawa mesej semangat patriotisme dan cintakan negara.
"Kami berasa bangga dan puas apabila dapat turut menghiburkan orang ramai," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan