Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Pembangkang
perlu menukar pendekatannya daripada ‘meracun’ kepada ‘memujuk’ rakyat
supaya menumbangkan pemerintahan Umno-BN kerana ternyata kempen mereka
selama ini tidak berkesan, kata Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Rafizi Ramli berkata, sebaliknya pembangkang perlu mengimbau kembali
dan menginsafi pendekatan dan kempen mereka selama ini sebenarnya
berpotensi menjarakkan lagi hubungan mereka dengan rakyat.
Katanya, faktor ini mungkin menyebabkan pengundi memberi reaksi yang
negatif terhadap pendekatan politik pembangkang dan sebaliknya bertindak
mengekalkan Umno-BN terus memegang tampuk pemerintahan negara.
"Kita kena 'cermin diri' sendiri. Selagi kita tak buat begitu, maka
kita akan ada masalah mendapat undi terutamanya dari orang Melayu,"
katanya dalam sesi meja bulat Selamatkan Malaysia, baru-baru ini.
Malah Rafizi sendiri mengaku tugas hakiki pembangkang ialah “menghasut”
rakyat supaya membenci dan berasa tidak selesa terhadap setiap inisatif
dan dasar kerajaan.
Rafizi menegaskan pendekatan “menghasut” itu dalam sessi latihan
melaksanakan strategi pakatan pembangkang yang mana videonya menular di
internet.
Bernama melaporkan bahawa Rafizi mengakui bahawa pembangkang selama ini
tersilap melayan persepsi bahawa orang Melayu khususnya di luar bandar
tidak memahami isu dibawa pembangkang.
"Selama ini kempen dan cara kita menyampaikan maklumat seolah-olah
pengundi Melayu di kampung tak boleh 'mengira'. Tetapi Melayu sebenarnya
faham isu nasional.
"Masalah kita bukannya Melayu tak faham dengan kerosakan dilakukan
Najib, tapi sebab mereka tak yakin kita boleh tadbir dengan lebih baik
dan memastikan kerosakan sama tidak berlaku. Melainkan kita menukar cara
mendekati mereka," katanya.
Sehubungan itu, katanya, pembangkang perlu memikirkan cara untuk
dinilai sebagai satu gabungan politik yang jujur dan benar-benar mahu
membantu rakyat.
"Kenapa ada masalah kredibiliti itu? Sebab mereka (rakyat) merasakan
sehingga sekarang kita masih belum dapat mengemukakan rangka
penyelesaian yang bukan saja 'incredible' tapi jujur.
"Sebab itu kita kena cermin diri dan fikir bagaimana kita dapat dinilai
sebagai satu gabungan politik yang jujur dan benar-benar mahu membantu
dan bukan sekadar untuk menang ke Putrajaya," katanya.
Pembangkang kini menggunakan pendekatan membenci institusi kerajaan
kerana kononnya diterajui oleh pemimpin-pemimpin politik yang korup
bersandarkan kes-kes tertentu walaupun kebanyakkannya belum
dimuktamadkan siasatannya.
Bagaimanapun dengan kesedaran baru ini, Rafizi sebagai leftenan kempen
pembangkang yang menggunakan taktik berdebat dan mendedahkan pelbagai
maklumat (yang belum teruji kesahihannya) perlu mengubah taktik kempen
bermula dengan dirinya sendiri.
Rafizi perlu jujur dan jangan “mabuk” dengan kehebatan berdebatnya
sendiri dan beliau patut bermula dengan membetulkan gelagat
pemimpin-pemimpin dalam parti PKRnya sendiri.
Contohnya, projek Datum Jelatek yang dipertikaikan oleh penduduk
setempat di Datuk Keramat yang dilulus dan disokong oleh kerajaan
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.
Kecurigaan penduduk setempat ialah projek mewah yang hanya mampu dibeli
oleh golongan kaya itu menjadi idaman hartawan asing, terutama dari
negara China itu akan mengganggu keseimbangan densiti penduduk di
kawasan berkenaan.
Soalnya, beranikah Rafizi mengingatkan Azmin bahawa sebelum menyerang
projek Forest City di Johor, sebenarnya kerajaan Pakatan Rakyat/Harapan
sendiri sudah “mempelawa warga asing” menguasai pemilikan hartanah di
kawasan majoriti Melayu?
Alhamdulillah, Rafizi sudah akur bahawa taktik kempen politik mereka
sudah tersasar dan orang Melayu tidaklah naif berhubung isu politik dan
masa depan bangsa mereka.
Namun tanpa kejujuran, Rafizi atau pembangkang akan terus menegakkan
tembok kredibiliti bahawa pembangkang tidak boleh dipercayai dan besar
kemungkinan tidak mahu menunjukkan prestasi lebih baik daripada kerajaan
sedia ada.
Di samping itu, sanggupkah Rafizi berterus terang bahawa projek
penambakan laut di Pulau yang digerakkan oleh kerajaan DAP yang juga
kerabat pembangkang hanya akan merugikan rakyat, terutama orang Melayu
di negeri itu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan