KUALA LUMPUR
– Semua individu bujang yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 dan
isi rumah dengan pendapatan RM4,000 ke bawah layak mendapat Bantuan
Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun ini.
Justeru
itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menafikan
dakwaan yang kini tular di laman sosial kononnya pemohon yang berdaftar
dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak layak mendapat bantuan
itu.
“Sesiapa yang mendaftar BR1M, tak kira ada SMM ke tiada SSM, sepatutnya dapat bantuan ini kalau pendapatan di bawah RM4,000.
“Saya beri
jaminan bahawa isi rumah yang berpendapatan bawah RM4,000 dan individu
bujang yang bergaji RM2,000 ke bawah akan dapat BR1M… kalau siapa tak
dapat, saya nak tahu,” katanya dalam sidang media di Parlimen di sini,
hari ini.
Johari
berkata kebanyakan permohonan yang ditolak adalah disebabkan kegagalan
pemohon menyertakan salinan slip bayaran gaji atau penyata bank kepada
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menurutnya beliau telah memaklumkan kepada pihak LHDN supaya tidak menyukarkan urusan permohonan bantuan itu.
“Mereka
yang mempunyai pendapatan bawah RM4,000 perlu dibantu. SSM memang untuk
menggalakkan masyarakat berniaga, cuma pemohon BR1M perlu sertakan
sekali slip bayaran gaji dan atau penyata bank.
“Kalau dua-dua itu tak ada, mereka perlu beri salinan buku akaun simpanan,” katanya.
Johari
menjelaskan dokumen itu perlu disertakan bagi mengelak permohonan
bantuan itu dieksploitasi oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Sebelum
ini saya difahamkan oleh pihak LHDN, setelah diperiksa didapati ramai
penerima BR1M sebenarnya memperoleh pendapatan hasil perniagaan yang
banyak, ada yang berpendapatan sehingga RM9,000 sebulan,” katanya.
LHDN turut
mengedar risalah kepada pemohon supaya menyertakan bersama slip bayaran
gaji, penyata bank atau salinan buku akaun simpanan ketika membuat
permohonan itu.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan