HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Mac 2017

Gaji rendah punca kekurangan doktor pakar di hospital kerajaan?

 Berita Daily Staff

Kira-kira 150 doktor pakar di hospital-hospital kerajaan meletak jawatan setiap tahun sejak enam tahun sebelumnya

KUALA LUMPUR: “Gaji rendah punca kekurangan doktor pakar di hospital kerajaan.”

Demikian kata seorang pemimpin PKR susulan kenyataan Menteri Kesihatan Dr S Subramaniam baru-baru ini yang menyatakan hospital-hospital kerajaan di negara ini masih berhadapan dengan masalah kekurangan doktor pakar terutamanya dalam bidang-bidang tertentu termasuk neurologi, kardiotorasik, kardiologi, onkologi, paliatif, geriatrik dan neurosurgeri.

Menurutnya, kira-kira 150 doktor pakar di hospital-hospital kerajaan meletak jawatan setiap tahun sejak enam tahun sebelumnya.

“Hal ini bukanlah pertama kali kita dengar kerana tahun lalu juga Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Hilmi Yahya pernah menyatakan negara masih kekurangan 900 doktor pakar kecemasan bagi menampung jumlah pesakit yang semakin bertambah,” kata Dr Idris Ahmad, Adun Ijok dalam satu kenyataan.

“Pada pendapat saya, ramai doktor pakar tidak kekal berkhidmat di hospital kerajaan berpunca daripada gaji yang jauh lebih lumayan serta pelbagai insentif yang ditawarkan hospital swasta berbanding hospital kerajaan.”

“Kekurangan pakar perubatan di hospital kerajaan lebih akut di kawasan-kawasan luar bandar terutama di negeri Malaysia Timur. Kerajaan seharusnya memberi insentif kepada pakar-pakar perubatan yang sanggup atau di hantar ke sana untuk berkhidmat,” tambahnya lagi.

Ujar beliau, walaupun di dalam Belanjawan 2017 kerajaan telah mewujudkan lapisan gred baharu, iaitu gred UD56 bagi pegawai perubatan pakar namun ianya masih lagi tidak dapat menandingi apa yang ditawarkan oleh hospital swasta.

Dalam hal ini, antara tindakan yang boleh dilakukan kerajaan bagi mengatasi masalah berkenaan adalah memberi latihan di luar negara untuk kursus jangka pendek kepada para doktor pakar ini. Selain membenarkan kenaikan pangkat pakar-pakar ini lebih cepat mengikut tempoh perkhidmatan mereka di Kementerian Kesihatan

“Saya yakin dengan cara ini sedikit sebanyak akan menarik minta para doktor pakar berkhidmat di hospital kerajaan,” katanya.

“Selain itu, kerajaan juga perlu memperbanyakkan lagi hospital yang berkonsepkan ‘private wings’ seperti PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya) dan HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia) kerana melalui konsep ini, doktor pakar dibenarkan untuk buat kerja sambilan di ‘private wings’ hospital berkenaan,” jelasnya lagi.

Dr Idris turut berpendapat bahawa konsep ini secara tidak langsung dapat memperolehi pendapatan tambahan bagi menampung kehidupan masing-masing.

Pada masa sama, kerajaan juga perlu menilai semula kualiti pendidikan perubatan di universiti tempatan (termasuk dalam tapisan pemilihan calon pelajar perubatan) supaya dapat dikurangkan peratusan doktor pelatih yang gagal menyempurnakan latihan mereka kerana didapati tidak kompeten.

“Hal ini berdasarkan kenyataan Dr Hilmi Yahya di Dewan Rakyat, hampir 25 hingga 30 peratus doktor pelatih gagal menyempurnakan latihan perubatan dalam tempoh yang ditetapkan kerana tidak kompeten.”

“Bagi saya, perkara ini perlu diberi perhatian serius agar negara tidak menghadapi masalah penempatan doktor pelatih baharu berikutan doktor pelatih sedia ada terpaksa menyambung dan memanjangkan tempoh latihan mereka,” tegas beliau.

“Justeru, sebagai seorang doktor, saya merasakan masalah yang dihadapi ini sesuatu yang sangat serius dan perlu di atasi pada kadar segera bagi menampung keperluan perkhidmatan kesihatan negara terutama kepada rakyat yang kurang berkemampuan dan amat bergantung kepada rawatan kesihatan di hospital kerajaan.”

Tiada ulasan: