shahbudindotcom
Kedua-dua
mereka ini, Ezam Mohd Nor dan Khairuddin Abu Hassan pernah menyertai
Bersatu sebelum ini, tetapi tidak lama kemudian bertindak keluar
daripada parti itu.
Ezam
memberi alasan berbuat demikian kerana ingin menumpukan kepada NGO anti
rasuah yang sedang diterajuinya iaitu Hisbah Centre For Reform yang
berpusat di Jakarta, Indonesia.
Khairuddin
pula memberi alasan kerana ingin menumpukan perhatian menyelesaikan
beberapa kes mahkamah yang melibatkan dirinya dan tidak mahu kes-kes itu
menjejaskan nama baik Bersatu jika dibicarakan nanti.
Okay,
kita memang menghormati dan mengkagumi pendirian mereka itu. Nampak
macam ada pendirian dan begitu mementingkan kewibawaan.
Alih-alih
kini dikhabarkan kedua-duanya sedang merancang untuk menubuhkan sebuah
parti baru dan mahu bertanding dalam pilihanraya akan datang ini.
Ezam
dilaporkan mahu bertanding di Pekan, Pahang yang kini diwakili oleh
Najib Razak, sementara Khairuddin menyasarkan mahu bertanding di
Titiwangsa yang sekarang Ahli Parlimennya adalah Johari Abdul Ghani,
Menteri Kewangan Kedua.
Apa cerita ni beb, belum pun parti lulus lagi tapi siang-siang dah berani sebut kawasan mana mahu bertanding?
Apa agenda sebenarnya ni?
Kepada
Ezam, kenapa sekarang mahu tubuh parti baru dan bertanding dalam
pilihanraya sedangkan sebelum ini keluar Bersatu kerana ingin menumpukan
kepada agenda melawan rasuah?
Sudah selesaikan agenda memerangi rasuah bersama Hisbah?
Begitu
juga kepada Khairuddin, sudah selesaikah segala kes-kes yang sedang
dihadapi di mahkamah, maka tiba-tiba mahu menubuhkan parti baru dan
bertanding dalam pilihanraya?
Jika kes-kes mahkamah sebelum selesai, tidak bimbangkah nanti parti baru itu terjejas namanya bila perbicaraan diadakan?
Sejujurnya
Pakatan Harapan sekarang ini, setelah Bersatu memutuskan akan
menyertainya secara rasmi, sudah menjadi gabungan yang cukup ampuh dan
kuat untuk menggegar dan menumbangkan Najib, UMNO dan BN.
Tidak
perlunya lagi ditubuhkan parti baru, sebaliknya lebih baik berikan saja
sokongan kepada Pakatan Harapan untuk memenuhi impian menukar kerajaan
yang kini menjadi dambaan majoriti rakyat Malaysia.
Menubuhkan
parti baru, lebih-lebih lagi dengan awal-awal menyebut kawasan mana
yang mahu ditandingi, mungkin hanya menimbulkan tafsiran kedua-dua
mereka itu ada agenda lain yang mahu dicapai dan sudah pudar kekentalan
dalam perjuangan mahu menyingkirkan Najib sebagaimana sebelum ini.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan