shahbudindotcom
Dalam
usaha mengekalkan kuasanya, Najib Razak jelas kepingin benar untuk
menjalin kerjasama dengan Pas dalam PRU 14 akan datang ini.
Selain
menunjukkan banyak sikap lunak, tidak bermusuh, bekerjasama dalam
beberapa program dan berkompromi berkaitan Akta 355, dalam lawatan ke
Kelantan baru-baru ini, Najib juga mengatakan tidak mustahil wujud
kerjasama antara UMNO dan Pas.
Kata
beliau, segala kemungkinan boleh berlaku dalam hubungan antara Pas
dengan UMNO, namun setakat ini kedua-dua parti akan meneruskan kerja
masing-masing tanpa ada kerjasama.
Najib juga dilihat amat berhati-hati dalam mengulas usaha UMNO untuk merampas kembali Kelantan, sebaliknya hanya berkata, "kita
akan menampilkan UMNO sebagai parti yang penuh bertanggungjawab dan
terbaik supaya rakyat Kelantan akhirnya dapat membuat penilaian."
Bagaimanapun,
kenyataan Najib itu segera dipangkah oleh Naib Presiden Pas yang juga
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah dengan
menegaskan, UMNO tetap akan mereka lawan dalam pilihanraya akan datang
nanti.
Kata
beliau, kerjasama UMNO dengan Pas hanya berkaitan isu agama, negara
serta masyarakat dan bukan melibatkan kerjasama politik.
Dalam pilihanraya, memang kita tetap akan lawan UMNO, tambahnya lagi.
Tetapi itu kata Naib Presiden Pas, lain pula kata-kata yang dilafazkan oleh Presiden Pas sendiri, Hadi Awang.
Dalam
video yang kini viral di media sosial yang didakwa diucapkan bulan lalu
di Terengganu, Hadi antara lain membayangkan perlunya kerjasama antara
UMNO dengan Pas bagi membolehkan "sifir politik menang-menang" dapat
dicapai.
"Sebab
itu bagi Terengganu, bagi Kelantan, bagi Kedah, bagi Perak, bagi
Selangor, biar PAS memimpin. Negeri lain UMNO nak lagi bagi ke dia.
"Kalau
boleh nak perintah habis, nak telan habis. Tapi mulut kita luas mana
nak telan habis? Kita kena ukur dengan saiz kita sendiri. Kita
memerlukan satu kerjasama untuk mengekalkan kuasa politik Islam.
"Ini
sangat penting. Kita kena sedar. Ini budaya politik matang dan
sejahtera yang kita lakukan pada hari ini. Orang UMNO pun selesa. Mereka
pun tak mahu tegang, tak mahu berbalah lama. Tak mahu keras. Lembut.
"Lembut
inilah kita boleh berdialog. Kita boleh berbincang untuk mencari mana
benar, mana salah. Kalau silap kena perbetul..."demikian antara
kata-kata Hadi dalam video tersebut.
Lalu, apa pilihan terbaik buat Pas? Ikut seperti kata Hadi atau Mohd Amar?
Dalam
konteks Hadi, beliau jelas ingin bekerjasama dengan UMNO dan
mengimpikan lima negeri sebagai bayangan untuk digenggam. Mohd Amar pun
tentunya akan setuju dengan kerjasama itu jika ia akhirnya memudahkan
lagi Pas berkuasa di Kelantan dan beliau boleh kekal lagi sebagai
Timbalan Menteri Besar atau akan dinaikkan pangkat sebagai Menteri
Besar.
Pendirian
Hadi memang tidak jauh berbeza dengan Najib yang menyatakan segala
kemungkinan boleh berlaku dalam hubungan kedua-dua parti. Najib tentunya
tidak sukar untuk bersetuju jika melalui kerjasama itu, beliau lebih
mudah lagi mengekalkan kuasanya sebagai Perdana Menteri dan sekaligus
menyingkirkan musuh utamanya, Tun Mahathir Mohamad dalam perhitungan
hidup mati PRU 14 akan datang nanti.
Bagi
Najib, apalah sangat kuasa di lima negeri itu jika diserahkan kepada
Pas melalui formula kerjasama antara kedua parti kerana yang lebih
penting baginya ialah kuasa di pusat dapat dipertahankan dan sekaligus
membolehkan ruang bicara di mahkamah dan kamar penjara dapat
dielakkannya.
Biar
pun Najib dikenali di seluruh dunia sebagai pemimpin kleptokrasi
manakala Pas memperjuangkan agama, Pas juga seharusnya sedar mereka
adalah parti politik dan pemimpin-pemimpinnya pula adalah orang politik
yang tidak terkecuali daripada dahagakan kuasa.
Maka,
bekerjasama dengan UMNO adalah pilihan terbaik buat Pas. Lupakanlah
Bersatu, PKR atau Pakatan Harapan. Lupakanlah juga untuk bertanding
secara sendirian dan menggembleng tenaga dalam perebuatan tiga penjuru.
Impian
menguasai lima negeri lebih mungkin dapat dicapai hanya jika Pas
bekerjasama dengan UMNO, bukan bersama dengan Pakatan Harapan atau
mewujudkan kerjasama lain dengan Bersatu dan PKR. Jika bersendirian,
lagilah mustahil untuk menguasai lima negeri itu.
Dengan
bekerjasama atau bergabung dengan UMNO, pertandingan PRU 14 akan
menjadi satu lawan satu dengan Pakatan Harapan. Pas akan bertanding
lebih banyak kerusi di lima negeri sebagaimana disebut Hadi dalam video
itu.
Sebagai
imbalannya, Pas akan bertanding sedikit kerusi Parlimen untuk
membolehkan Najib terus kekal dengan kuasanya. Bagaimanapun, di mana
calon Pas atau UMNO bertanding, jentera Pas akan saling bekerjasama
dengan jentera UMNO dan BN untuk berlawan dengan Pakatan Harapan.
Sudah
tentu, bukan saja lima negeri itu lebih mudah digenggam Pas kerana
mendapat sokongan UMNO, bahkan calon kedua-dua parti di kawasan Parlimen
majoriti Melayu juga akan mengaut lebih banyak kemenangan lagi kerana
gabungan UMNO dengan Pas mampu membentuk penguasaan undi Melayu
sekurang-kurangnya sehingga 60 peratus.
Berbanding
bertanding sendirian dan membiarkan berlaku pertandingan tiga penjuru,
ia sebenarnya lebih berisiko buat Pas. Boleh jadi mereka akan menang
banyak kerusi dan boleh jadi juga akan menyebabkan kalah lebih banyak.
Katalah
Pas menang banyak kerusi dan BN atau Pakatan Harapan tidak cukup jumlah
untuk membentuk kerajaan, ia akhirnya menyebabkan parti itu masih perlu
berunding untuk memilih pihak mana yang mereka ingin bergabung. Ia
tentu merumitkan dan membuang masa.
Dengan
membiarkan berlaku pertandingan tiga penjuru pula, secara kasarnya
memang ia memperlihatkan seolah-olah Pas mahu memberi kelebihan kepada
UMNO dan BN, tetapi Najib juga boleh melupakan atau membuang terus Pas
jika kemenangan besar memihak kepadanya. Ini kerana tiada perjanjian
atau sebarang ikatan yang dipersetujui.
Bertanding
tiga penjuru lebih mungkin menyebabkan Pas jadi "lebai malang" atau
seperti "habis madu sepah dibuang". Ini kerana bagi Najib, yang penting
ialah dapat mengekalkan kuasa, lagi pun tiada rakan yang kekal dalam
perebutan kuasa, lebih-lebih jika tiada sebarang perjanjian.
Sebaliknya
dengan memetrai kerjasama politik dengan UMNO dan BN dalam keadaan
Najib sedang terumbang-ambing sekarang adalah peluang keemasan bagi Pas.
Tawar-menawar pasti akan memihak kepada mereka dan dapat memerintah
lima negeri adalah "rahmat besar amat yang amat bodoh" untuk ditolak
oleh Pas.
Sebagai
parti politik dan bukan gerakan tabligh, cerahnya masa depan Pas ialah
bersama UMNO dan BN, bukan bekerjasama dengan Bersatu atau PKR, dan
bukan juga dengan bertanding sendirian. Lupakanlah soal salah laku atau
imej kleptokrasi yang melingkari Najib, lagi pun bila sudah sama-sama
menang nanti, bolehlah Pas lebihkan masa memberi nasihat, bimbingan atau
usrah kepada Perdana Menteri dan seluruh rakan-rakan pemimpin dalam
UMNO.
Kepada
Pas, segera dan jangan buang masa lagi untuk bekerjasama dengan UMNO
dan BN kerana peluang terbaik untuk mereka sedang terhidang di depan
mata. Peluang terbaik ini pula tidak mungkin selalu menjelma.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan