Oleh Shuhaniza Said
KUALA LUMPUR: PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masih dalam
proses 'merisik' dan belum ada tanda-tanda dua parti itu akan
'bernikah'.
Itu pengesahan Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad ketika diminta
mengulas kenyataan Presiden PPBM, bahawa parti sudah mendapat jemputan
untuk rundingan agih kerusi antara dua parti itu.
"Tarikh belum. Kita tak bincang apa pun lagi, belum ada ketetapan.
"Masih berlangsung (rundingan), kita (PAS) dengan dia (PPBM) tak ada
kata putus lagi. InsyaAllah.. kita masih baru.. takkan nak terus
menikah, merisik dulu," katanya ketika ditemui di lobi parlimen sebentar
tadi.
Semalam, Tan Sri Muhyiddin memberitahu hubungan partinya dengan PAS
bertambah baik selepas parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu
menjemput partinya bersabit rundingan agihan kerusi bagi menghadapi
PRU14.
Ketika ditanya perihal itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata tidak tahu mengenai ajakan PAS terhadap PPBM.
"Saya tak tahu, mungkin saya terlepas pandang tapi setakat ni tak ada," katanya lagi.
Idris bagaimanapun menegaskan bahawa hubungan antara PAS dan PPBM pada
ketika ini berjalan seperti biasa di mana kedua-dua parti sering
terlibat dalam program di pentas yang sama.
"Kita sekarang naik pentas sama, pastikan mesej kita sama.
"Sekarang ini kita buat program dulu, sampai ketika nanti akan ada
lah," katanya sambil menambah apa saja keputusan yang melibatkan
kedua-dua parti itu akan dilakukan secara konsensus dan kemudian
dimaklumkan kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan