Oleh Shuhaniza Said
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Sarawak akan akur kepada keputusan
Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg berhubung sokongan
terhadap Rang Undang-undang bagi menperkasakan Mahkamah Syariah (Bidang
Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku
Jaafar berkata, sehingga kini belum ada keputusan mengenai perkara itu
walaupun semua Ahli Parlimen negeri itu telah mengadakan pertemuan
dengan Amar.
"Ketua Menteri belum memutuskannya, jadi tunggu keputusan daripada BN
(Sarawak). Pendirian kita berdasarkan pendirian kerajaan Sarawak.
"Kalau Sarawak buat pendirian untuk tidak sokong oleh itu Ahli Parlimen
Sarawak tidak sokong. Kalau pemimpin BN Sarawak kata tak sokong, kita
tidak sokong. Kalau pemimpin BN Sarawak kata sokong, kita sokong,"
katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen sebentar tadi.
Ahli Parlimen Santubong itu berkata demikian ketika ditanya mengenai
hasil perbincangan daripada pertemuan antara ahli Parlimen Sarawak
dengan Abang Johari beberapa hari lalu.
RUU 355 dijangka dibawa ke Dewan Rakyat pada sidang kali ini dan ini
merupakan kali ketiga ia dibawa selepas melalui dua kali penangguhan
sebelum ini.
Pada 24 November lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang
juga Ahli Parlimen Marang meminta proses huraian bagi cadangan pindaan
RUU itu ditangguhkan sehingga sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang
dengan alasan bagi mengelakkan kekeliruan.
Pindaan Akta 355 bertujuan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah bagi
meningkatkan hukuman maksimum kepada 30 tahun penjara, denda sehingga
RM100,000 dan 100 kali sebatan.
Hukuman Mahkamah syariah pada ketika ini hanya terhad kepada tiga tahun penjara, enam sebatan dan denda RM5,000.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan