KUALA LUMPUR – Satu pertiga daripada siswazah mempunyai kelayakan akademik yang tidak memenuhi keperluan praktikal pasaran.
Keadaan itu merupakan antara faktor utama yang menyebabkan 80
peratus siswazah menganggur dan memerlukan masa untuk mencari kerja.
Majikan kini memerlukan pekerja yang tersedia kerana tidak mahu menghabiskan masa untuk melatih mereka.
Selain itu, terdapat juga siswazah yang terlalu ‘manja’ walaupun
berdepan kesukaran mencari kerja.
Golongan ini selalunya akan
menghilangkan diri selepas bekerja selama satu atau dua hari.
“Zaman sudah berbeza, pengetahuan dan ijazah semata-mata tidak menjanjikan pekerjaan.
“Majikan tidak lagi memerlukan banyak pengurus, tetapi kami mahu
pekerja yang mempunyai kemahiran tertentu,” kata Pengarah Eksekutif
Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan kepada
China Press.
Beliau berkata, dengan sektor perkhidmatan yang mencapai
pertumbuhan 55 peratus dan mungkin mengecapi 60 peratus pada 2020,
pekerja muda juga perlu dilengkapi dengan kemahiran komunikasi.
“Perusahaan moden mementingkan kerja berpasukan, pekerja perlu
mempunyai kemahiran berkomunikasi dan memimpin serta sanggup bekerja
kuat untuk syarikat.
“Pekerja juga perlu melakukan tambah nilai pada diri sendiri kerana keadaan sudah berbeza dengan era 90-an,” katanya.
Shamsuddin menggalakkan ibu bapa memberi peluang kepada anak untuk
menceburi bidang yang diminati kerana ia akan meningkatkan peluang
mereka untuk berjaya dalam kerjaya.
Beliau bagaimanapun berkata, pelajar juga perlu mengambil kira
keperluan pasaran semasa melanjutkan pelajaran bagi mengelakkan
pembaziran wang ibu bapa mereka. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan