Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Sama ada PKR, atau mana-mana pihak, tidak perlu melatah
dengan beberapa usul yang diluluskan PAS kawasan dan dewan untuk
memutuskan tahaluf siyasi diantara dua parti itu.
Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, apa jua
keputusan kelak berhubung kerjasama PAS-PKR hanya ditentukan secara
muktamad menerusi muktamar yang akan diadakan penghujung April.
"Biar mereka beri pandangan mereka kerana akhirnya muktamar yang akan
buat keputusan. Pandangan Dewan Pemuda adalah pandangan mereka sendiri.
"Beberapa tahun dahulu pun Dewan Ulama Pusat pernah buat keputusan
bahawa PAS Selangor akan keluar dari kerajaan (negeri). Tetapi itu
pandangan Dewan.
"Di PAS Selangor, kita tidak ada apa-apa keputusan lagi, kita belum ada
mesyuarat khas untuk tentukan kedudukan kita. Maka saya kira, itu
biasa.
"Kalau Pemuda PAS hendak bercakap, itu biasa, biarkan mereka bercakap
kerana sifat mereka sebagai Pemuda ada pandangan dan akhirnya akan
dibawa ke muktamar," katanya kepada Antarapos hari ini.
Semalam Dewan Pemuda PAS Kuala Selangor tampil sebagai sayap kedua
parti itu selepas Dewan Pemuda PAS Tumpat yang meluluskan usul putus
hubungan dengan PKR.
PAS Permatang Pauh dan PAS Bayan Baru juga mengambil ketetapan yang sama dalam mesyuarat parti yang diadakan pada minggu lalu.
Perkembangan yang membabitkan usul-usul berkenaan mencetuskan tanda
tanya berkenaan jangka hayat kerjasama politik di antara dua parti
tersebut, lebih-lebih lagi menerusi kerajaan negeri Selangor.
Usul sedemikian timbul selepas PAS dikatakan tidak senang dengan
hubungan baik PKR dengan DAP dan Amanah, dua parti yang didakwa sebagai
seteru politik dan menentang dasar dan perjuangan PAS.
Malah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada semalam
sinis terhadap PAS apabila mendakwa parti itu hanya kuat dan meraih
banyak undi selepas menyokong reformasi yang dicetuskan partinya.
Beliau mengambil contoh PAS di bawah pimpinan Allahyarham Fadzil Noor
yang berjaya meraih banyak kerusi dalam pilihan raya, sekaligus
membolehkan parti itu menjadi ketua pembangkang.
Khairuddin, yang diajukan hal itu kemudiannya menjelaskan perjuangan PAS tetap sama meskipun pimpinannya sering berubah.
"PAS tetap sama, sama ada di zaman Ustaz Fadzil atau Tok Guru sekarang.
Ia tetap sama, cuma gaya kepimpinan berbeza. Sebab kita
membanding-bandingkan. Di zaman Ustaz Fadzil ada kebaikannya, di zaman
Tok Guru pun ada kebaikannya," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan