Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar menggesa Rafizi Ramli
agar mendedahkan bukti dakwaannya berhubung penyaluran dana 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) kepada seorang tokoh rapat dengan pemimpin
PAS.
Menurut Xavier, ia wajar dilakukan segera agar persoalan mengenainya
dirungkai dan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil ke atas
dakwaan berkenaan.
"Sekarang ini mereka nak cabar mencabar antara satu sama lain ini,
cabar-cabar sahaja tapi saya tidak tahu kedudukan betul atau tidak betul
dan sebagainya.
"Lebih baiklah pihak tertentu yang mempunyai butiran-butiran ini
dedahkan sahaja lah kepada kita. Selepas itu, kita boleh baca dan
selanjutnya tindakan sewajarnya boleh diambil.
"Untuk cabar mencabar ini semua ialah untuk kita adakan satu persepsi
bahawa terdapat satu kesalahan yang telah berlaku. Yang kita tahu ini
selepas Rafizi buat kenyataan tentang PAS dan 1MDB," katanya ketika
dihubungi Antarapos hari ini.
Baru-baru ini, Rafizi yang juga Naib Presiden PKR dalam satu kenyataan
berkata akan mendedahkan kepada umum nama tokoh berkenaan dalam masa
terdekat.
Malah, Ahli Parlimen Pandan itu turut akan membuat laporan kepada
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar badan berkenaan dapat
merujuk kembali kertas siasatan kes itu.
Tambah Xavier lagi, pendedahan oleh Rafizi penting agar siasatan dapat
dilakukan, seterusnya membolehkan rakyat tahu mengenai hal sebenar
berhubung isu yang dibangkitkan ini.
Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan dakwaan
Rafizi sebagai satu pembohongan semata-mata dan meminta pemimpin PKR itu
untuk segera bertaubat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan