Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli tidak perlu berlengah-lengah
untuk mendedahkan bukti dakwaannya mengenai penyaluran dana 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) kepada seorang tokoh rapat dengan pemimpin
PAS.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
berkata, Rafizi perlu berbuat demikian selepas beberapa kali dakwaannya
sebelum ini gagal dibuktikan.
"Tuduhan Rafizi itu, dia kena tunjukkan bukti segera, tunggu apa lagi. Sebutlah nama (pemimpin yang dimaksudkan) terus.
"Dan PAS tak perlu respon apa-apa. Dia (Rafizi) hanya menyebut tentang
orang yang dikaitkan dengan PAS. Sebutlah nama dulu," katanya kepada
Antarapos ketika dihubungi hari ini.
Kata Khairuddin, tindakan Rafizi itu menggambarkan dirinya sebagai seorang 'kartun politik'.
"Mula-mula dia sebut orang itu yang rapat dengan PAS, kemudian dia
sebut pula bekas pimpinan PAS. Selepas ini tak tahu apa lagi yang dia
nak sebut. Itulah kartun politik.
"Rafizi tiada kredibiliti untuk bercakap perkara seumpama ini, dia
sudah banyak kali berbohong, dan orang yang berbohong tak boleh dibawa
berhujah. Rakyat tak perlu dengar cakap Rafizi yang bersifat tuduhan,"
kata beliau lagi.
Ketika ditanya sama ada PAS akan mengambil tindakan terhadap pemimpin
PKR itu, Khairuddin berkata, parti itu buat masa ini belum bercadang
mengambil sebarang tindakan undang-undang sehinggalah Rafizi tampil
mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya.
Terdahulu, Rafizi dalam satu kenyataannya berkata akan mendedahkan
kepada umum nama tokoh yang dikaitkan dengan penyaluran dana 1MDB itu
dalam masa terdekat.
Malah, Ahli Parlimen Pandan itu turut akan membuat laporan kepada
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar badan berkenaan dapat
merujuk kembali kertas siasatan kes itu.
Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan dakwaan
Rafizi sebagai satu pembohongan semata-mata dan meminta pemimpin PKR itu
untuk segera bertaubat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan