Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang beranggapan
kekecohan forum 'Nothing To Hide 2.0' pada Ahad lalu terjadi kerana
penjelasan Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan tragedi Memali tidak
memuaskan hati hadirin.
Malah beliau berterima kasih kepada individu yang bertanyakan perihal Memali untuk dijawab Dr Mahathir secata terbuka.
"Terima kasih diucapkan kepada mereka yang meminta penjelasan
berkenaan peristiwa Memali. Kepada yang tidak mampu menjawab (Dr
Mahathir) sepatutnya tidak marah dan orang lain tidak membuat
kekecohan.
"Anak-anak muda sahaja tidak sepatutnya dipersalahkan, sepatutnya juga
dipersalahkan yang menjadi penyebabnya," ujar Hadi dalam satu
kenyataannya hari ini.
Mengimbau tragedi Memali, Hadi berkata ahli PAS dipersalahkan namun
tidak pula pihak yang mencetuskan provokasi sehingga terjadinya
peristiwa itu.
"Ketika itu Ustaz Ibrahim Mahmud dan rakan-rakannya dipersalahkan,
bukan pula dipersalahkan orang yang selalu menghina Islam dan hukumnya
yang sangat dimarahi oleh Ustaz Ibrahim dan rakan-rakan.
"Ramai kakitangan kerajaan, polis dan Umno tidak bersetuju dengan
pendekatan yang dilakukan sehingga mengorbankan polis yang dipaksa,"
ujarnya.
Ustaz Ibrahim adalah pemimpin PAS dan antara pemidato handal yang amat digeruni kerajaan pimpinan Dr Mahathir ketika itu.
Beliau dan 13 rakannya dikatakan dikepung pihak berkuasa dan ditembak
mati di perkampungan Memali. Juga terkorban empat orang anggota polis.
Ulama PAS menyifatkan korban tragedi Memali adalah 'mati syahid', berikutan dibunuh kerajaan pemerintah yang zalim.
Dr Mahathir ketika menjawab isu Memali berkata "empat polis dibunuh
dengan tangan mereka (pemimpin PAS), balasannya dengan cara itu (bunuh
kembali). Itu adalah SOP.
Berikutan jawapan itu, forum Nothing To Hide 2.0 bertukar kecoh dengan
peserta yang bertanyakan soalan tiba-tiba membaling kerusi dan botol
air ke arah pentas - dimana Dr Mahathir sedang berucap.
Susulan itu peserta lain bertindak menyalakan suar memaksa hadirin lain yang datang bertempiaran lari keluar dewan.
Polis kemudiannya mengesahkan tiga suspek ditahan untuk membantu siasatan.
Suspek kini ditahan reman selama empat hari, bermula semalam (Isnin).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan