SHAH ALAM: Jabatan Penjara Malaysia menafikan Ketua Umum PKR, Datuk
Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan satu kenyataan baru-baru ini.
Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan, Supri Hashim berkata, Anwar tidak
dibenarkan membuat sebarang kenyataan sama ada ketika berada di penjara
atau semasa dibawa ke mahkamah.
Beliau merujuk kepada kenyataan Anwar yang disiarkan media pada 14 Ogos
mengenai insiden kekecohan yang berlaku semasa forum Nothing To Hide
2.0 di Shah Alam hujung minggu lalu.
"Adalah dijelaskan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menjalani
tempoh hukuman pemenjaraan sepertimana yang diarahkan oleh mahkamah.
"Mana-mana banduan adalah tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan
penyiaran tanpa kebenaran dari Jabatan Penjara iaitu sepertimana
ketetapan prosedur penjara.
"Dalam hal ini Anwar tidak diberikan kebenaran berbuat sedemikian," kata Supri dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Supri, pada hari berkenaan, Anwar diiringi pihak penjara ke
mahkamah bagi menghadiri perbicaraan namun tidak dibenarkan mengeluarkan
sebarang kenyataan.
"Semasa berada di mahkamah berkenaan, Anwar pada sepanjang masa berada dalam kawalan oleh pegawai dan anggota Penjara.
"Pihak-pihak yang tidak berkaitan dengan perbicaraan berkenaan adalah tidak dibenarkan menemui beliau termasuklah media massa.
"Gambar yang digunakan bagi tujuan penyiaran kenyataan tersebut juga
adalah bukan gambar sepanjang tempoh Anwar berada di mahkamah pada 14
Ogos 2017," jelasnya.
Bekas ketua pembangkang itu kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh atas kesalahan liwat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan