Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang tidak menolak kemungkinan
untuk bertanding di salah satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN)
Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Katanya, tindakan beliau itu susulan serangan yang dipercayai dilakukan Umno-Barisan Nasional (BN) Gelang Patah terhadapnya.
"Oleh kerana Umno Gelang Patah terlalu hendak tahu, saya akan
memikirkan untuk bertanding di DUN. Ini yang akan buat saya tukar alamat
ke Gelang Patah dan membolehkan saya bertanding di DUN Johor. Saya akan
fikir dan umumkan nanti," beliau yang mewakili Parlimen Gelang Patah
berkata demikian sidang media di Dewan Rakyat, petang tadi.
Kit Siang memberithau, beberapa hari lalu Umno Gelang Patah ada
menaikkan kain rentang di kawasan parlimennya, yang tertulis, 'Maaf,
Pakcik Kit Siang, kami bukan Rihanna, kami tidak suka cara anda menipu'.
Kain rentang itu dipercayai merujuk kepada satu desakan daripada
Pengerusi Pertubuhan Minda dan Sosial menyatakan bukti tempat
kelahirannya selepas timbul keraguan beliau dilahirkan di Malaysia.
Kononnya Kit Siang tidak dilahirkan di negara itu, sebaliknya 'dibawa' masuk ke Malaysia.
Dalam sidang media itu juga, Kit Siang melahirkan rasa kurang senangnya
terhadap tuduhan tersebut yang mempersoalkan kerakyatan Penasihat DAP
itu.
"Saya menjadi perhatian utama di kalangan pemimpin Umno-Barisan
Nasional, penyebar propaganda dan tentera siber; mangsa penipuan dan
fakta yang salah, bahawa saya penyebab kepada rusuhan kaum 13 Mei 1969.
"Bahawa saya adalah komunis, cauvanis, agen kepada kuasa asing untuk
menjadikan 'Christian Malaysia', malah ketua boneka kepada Tun Dr
Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin,
Mohamad Sabu dan lain-lain," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan