BALING: Seorang bekas penjawat awam berusia 62 tahun ditahan bersama 15
yang lain dalam operasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sekitar
daerah ini, yang berakhir tengah malam tadi.
Warga emas yang tinggal sebatang kara itu ditahan apabila kediamannya
di Batu 42 dekat Pulai, di sini, diserbu selepas dikesan menjadi 'lubuk'
penagih untuk melepaskan gian dadah.
Berdasarkan maklumat warga emas itu memainkan peranan sebagai orang
tengah dengan membeli dadah daripada 'tokan' sebelum menjualnya semula
kepada penagih yang singgah di rumahnya itu untuk melepaskan gian.
Ketua Pegawai AADK Daerah Baling, Arnida Ishak, berkata serbuan ke atas
kediaman lelaki itu susulan risikan dilakukan pihaknya sejak dua hari
lalu selepas menerima maklumat awam.
"Rumah warga emas itu menjadi tumpuan penagih dari kawasan sekitar
untuk melepaskan gian, dengan peranannya sebagai orang tengah, warga
emas itu memperoleh bahagian dadahnya secara percuma," katanya dalam
kenyataan di sini.
Arnida berkata, dalam ops dijalankan bermula petang semalam sehingga 12
tengah malam tadi, tiga lokasi yang disyaki menjadi tumpuan penagih
diserbu iaitu di Batu 14 Pulai, Kampung Ketemba dan Padang Che Mas.
"Dalam serbuan di sebuah rumah tinggal di kawasan Padang Che Mas,
seorang tokan dadah berusia lingkungan 30-an serta tiga yang lain
dicekup ketika masing-masing sedang leka membungkus dadah.
"Dalam serbuan sama juga kita merampas dadah dipercayai jenis opiat
berwarna hijau serta sejumlah wang hasil jualan dadah," katanya.
Beliau berkata semua 16 suspek yang ditahan berusia antara 19 hingga 62
tahun dan masing-masing dibawa ke Pusat Tahanan Reman Kampung Selamat,
di sini dan ujian saringan air kencing dilakukan mendapati mereka
positif dadah jenis opiat dan methamphetamine.
Semua penagih yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta
Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983, manakala tokan dadah
berusia lingkungan 30-an pula diserahkan kepada pihak polis bersama
dadah dirampas untuk disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan