KUALA LUMPUR – Hampir 90 peratus daripada 250,000 usahawan Melayu dan Bumiputrera yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) masih berada di peringkat perusahaan kecil dan sederhana atau perniagaan mikro.
Presiden Persatuan Pedagang Dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Tan Sri Matsah Safuan berkata, walaupun orang Melayu berjaya menguasai bidang politik namun masih jauh ketinggalan menguasai ekonomi negara.
“Malangnya 90 peratus adalah dipanggil perniagaan mikro, kalau angka ini di antara jumlah ini yang ada dan berdafatar di SSM, kita maklum di mana tahap kita dalam memegang teraju ekonomi di negara kita.
“Walhal kita memegang tampuk pemerintahan di dalam politik, tetapi dalam ekonomi kita masih ketinggalan begitu jauh sekali,” katanya berucap merasmikan program Festival Perkahwinan 2017 di Glo Damansara, di sini, hari ini.
Beliau berkata, dalam hal ini Perdasama berperanan untuk meningkatkan taraf perniagaan Melayu dan Bumiputera ke peringkat lebih tinggi hingga ke pasaran antarabangsa.
“Perdasama bukan satu badan perniagaan atau NGO yang hanya melihat mereka yang berniaga di satu-satu peringkat saja, bahkan kita tengok di semua peringkat dari bawah sampai perniagaan besar sekali.
“Bagi mereka yang telah berjaya, mereka ini lebih berjaya. Sebenarnya mereka yang lain itu sudah jadi besar lagi, kerana itu mereka boleh pergi jauh lagi ke peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Katanya, Perdasama juga menggalakkan semua usahawan Melayu dan Bumiputera mengadakan segala bentuk kerjasama dalam menjana perniagaan yang lebih besar termasuk usahasama pakej perkahwinan.
“Kalau kita dapat gabungkan ini semua, ianya akan jadi usaha yang dapat kita ketengahkan untuk menyenangkan mereka yang nak buat majlis perkahwinan untuk keluarga mereka.
“Jadi ini akan memudahkan dan menjimatkan masa serta perbelanjaan kepada mereka yang nak melakukan majlis perkahwinan
“Saya berharap usaha ini, Wedding Festival 2017, bukan sahaja dibuat di Kuala Lumpur sahaja bahkan di seluruh negara supaya dapat menjimatkan perbelanjaan dan masa orang ramai,” katanya. – MalaysiaGazette.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan