HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Disember 2017

Calon PM: Anwar mahu pemimpin PKR berlapang dada, teruskan rundingan

DETIK DAILY


Penasihat Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta para pemimpin parti itu berlapang dada dalam membincangkan isu calon perdana menteri dan mahu rundingan diadakan dengan semua pihak agar PH tidak dilihat terburu-buru dalam memilih bakal peneraju negara jika dipilih mentadbir Putrajaya.

Pengarah Komunikasi PKR  dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengambil maklum laporan media yang memetik sumber berkaitan pandangan pemimpin PKR terhadap cadangan Perdana Menteri PH.

“Bagi pihak pimpinan parti, saya ingin menegaskan bahawa PKR hanya meminta ruang untuk membincang dan membina konsensus di dalam isu ini,” katanya.

Menurut Fahmi, sebelum ini soal calon Perdana Menteri interim ada dibincang dan kini timbul cadangan nama Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dipertimbangkan.

“Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri meminta agar pimpinan berlapang dada serta berunding dengan semua pihak termasuk NGO agar Pakatan Harapan tidak kelihatan terburu-buru.

“Isu utama di sini adalah mempertahan agenda perubahan yang wajib berlaku dalam negara, bukan dengan hanya merubah Perdana Menteri sedia ada tetapi dengan reformasi menyeluruh,” katanya.

Isu berhubung calon perdana menteri PH menjadi hangat apabila beberapa nama diketengahkan bagi jawatan itu oleh para pemimpin gabungan PH.

Walaupun Anwar dianggap sebagai calon popular, namun hukuman penjara dan halangan perundangan membatasi pencalonan beliau menyebabkan idea ‘perdana menteri interim’ ditimbulkan.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghangatkan suasana apabila mendakwa menamakan calon perdana menteri bertentangan dengan ajaran Islam.

Pandangan beliau bagaimanapun disanggah beberapa tokoh agama dan politik apatah lagi Pas sendiri pernah menamakan pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon perdana menteri menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13 

Tiada ulasan: