Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan berkata, jika
benar PH mahu memperjuangkan isu perumahan rakyat mereka sepatutnya
menyediakan lebih banyak rumah kos rendah di Selangor dan Pulau Pinang.
PETALING JAYA: Pemuda Umno membidas Pakatan Harapan (PH) hanya pandai mengkritik bagi menanam kebencian rakyat terhadap Datuk Seri Najib Razak, kononnya kegagalan kerajaan pusat menyediakan rumah mampu milik untuk belia akan menyebabkan mereka dihukum pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Mohammad Rafii berkata, PH termasuk Pemuda PPBM membuat tuduhan tanpa asas kukuh membabitkan isu perumahan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
“PH tidak pernah ada sejarah memperjuangkan apa-apa dasar. Mereka hanya mengkritik dan tidak ada perjuangan mereka, selain daripada menanam kebencian terhadap perdana menteri.
“Soal perumahan sudah sekian lama diperjuangkan Pemuda Umno. Pemuda Umno sering kali mengambil peluang dalam perbahasan setiap tahun untuk memberikan pandangan akar umbi mengenai jalan penyelesaian kepada Kerajaan.
“Itu sebab di Wilayah Persekutuan, kita ada Rumawip (Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan) yang harganya RM100,000 hingga RM300,000 dan fokus kepada M40 (golongan berpendapatan pertengahan).
“Untuk B40 (golongan berpendapatan rendah), kita ada bina rumah sewa dan beli serta pelbagai lagi inisiatif yang dicadangkan rakyat melalui perjuangan Pemuda Umno,” katanya kepada FMT.
Razlan berkata, jika benar PH mahu memperjuangkan isu perumahan rakyat dan mendakwa kerajaan di bawah pentadbiran mereka lebih baik daripada BN, gabungan pembangkang itu sepatutnya bermula dengan Selangor dan Pulau Pinang untuk menyediakan rumah kos rendah.
Namun, beliau berkata, keadaan sebaliknya berlaku walaupun Selangor mempunyai banyak tanah dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak membangunkan projek perumahan untuk memenuhi keperluan rakyat.
“Harga rumah sewa PPR (Program Perumahan Rakyat) DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) baru RM124 sebulan, berapa kerajaan Selangor sewakan PPR mereka? RM250 sebulan.
“Bukan hanya di Selangor mereka gagal, malah di Pulau Pinang banyak tanah yang kerajaan pusat cadangkan untuk perumahan M40 disukarkan kerana politik. Justeru, Syed Saddiq sudah hilang modal kempen dan arah, nak perjuangkan apa lagi? Semua sudah dijayakan kerajaan BN.”
Semalam, Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yakin kegagalan kerajaan pusat menyediakan rumah mampu milik untuk belia akan menyebabkan mereka dihukum pada PRU14.
Bagi menyokong dakwaan itu, beliau memetik kenyataan Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin di Dewan Rakyat bulan lalu mengenai Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) diiklankan sebagai “mampu milik”, tetapi harganya terlalu mahal.
“Seorang ahli Parlimen Umno bercakap di Dewan Rakyat baru-baru ini yang program perumahan mampu milik di bawah PR1MA sebenarnya tidak mampu dimiliki. Ini ialah petunjuk kerajaan silap dalam fokusnya dengan membina lebih banyak rumah tidak mampu dimiliki berbanding mampu milik.
“Ada rumah PR1MA berharga lebih RM250,000. Kesannya, kerajaan mengetepikan kepentingan anak muda,” katanya.
Bung dalam responsnya berkata, Syed Saddiq memetik kenyataannya dari sudut kurang tepat kerana tegurannya di Parlimen supaya kerajaan lebih serius dalam menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat, khasnya rakyat berpendapatan kurang RM3,000 untuk memiliki rumah, bukannya mengkritik secara melulu.
“Saya ingin mengingatkan Saddiq, perbahasan saya di Dewan Rakyat berkenaan gesaan supaya kerajaan serius dalam menyediakan rumah mampu milik.
“Inilah yang membezakan ahli Parlimen BN dan pembangkang kerana berani menegur pemerintah, malah bagi pembangkang, mereka tidak berani menegur pemimpin mereka walaupun tahu pemimpin mereka tidak melakukan apa-apa untuk membangunkan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan