HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Disember 2017

Kenapa pemaju tukar hak milik tanah? soal Shahrir Samad

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
JOHOR BAHRU: Tindakan dan motif syarikat pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) memindahkan hak milik tanah tanpa campur tangan FELDA, menimbulkan persoalan.
 
Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata tiada sebab pemaju perlu memindah milik tanah itu selepas diberikan surat kuasa wakil penuh (PA) untuk memajukan tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
 
Katanya, berbekalkan PA dan Kebenaran Merancang daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pemaju boleh membangunkan tanah itu tanpa perlu memindah milik tanah itu.
 
"Itu (PA) terbukti sudah kuat... sebagai pemegang PA, tanah dan mewakili FELDA mendapatkan 'Development Order' (Kebenaran Merancang) bagi membangunkan projek KLVC.
 
"Tetapi selepas mendapat PA, berlaku pemindahan hak milik tanah pada syarikat dia sendiri. Apa motif (pemaju) sehingga tanah dipindahkan menjadi milik syarikat sendiri?
 
"Jika syarikat itu dijual atau dibeli pihak lain, dengan tanah itu semua sekali akan dijual. Sebab itu kita (FELDA) kata berlakunya 'fraud' (penipuan)," katanya dipetik BH Online.
 
Shahrir berkata, pemaju memperoleh PA daripada FELDA dan memindah milik tanah tanpa perbincangan secara rasmi dengan FELDA dan FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).
 
"Memang betul berisiko (serahkan PA), tetapi pemaju yang bertanggungjawab selepas memiliki PA, hanya perlu bangunkan projek sahaja, tiada sebab untuk pindah milik tanah," katanya.
 
Mengulas mengenai nilai semasa tanah di Jalan Semarak yang dikatakan mencecah harga RM1 bilion, Shahrir berkata harga berkenaan dinilai selepas kawasan itu dibangunkan dengan pembangunan komersial.
 
"Kalau tanah itu status institusi (milik FELDA), nilainya tidak setinggi itu tetapi jika sudah diluluskan untuk pembangunan komersial, itu yang naik sehingga RM1 bilion.
 
"Sebab itu sekarang tindakan FELDA jelas iaitu mahu mendapatkan semula tanah itu, jika tidak yang untung adalah pemaju. Jika pemaju jual syarikat mereka atau ada pihak lain beli pegangan saham syarikat itu, pemaju tidak rugi apa-apa tetapi kita (FELDA) yang rugi," katanya.
 
 

Tiada ulasan: