HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Disember 2017

Ibu, ayah, adik tahu tiga ahli keluarga maut kemalangan semasa tawaf

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUANTAN: Ibu bapa serta adik perempuan kepada tiga beradik yang maut dalam kemalangan di Jalan Pekan-Kuantan berhampiran Kampung Batu Putih di sini, pagi tadi, menerima berita sedih itu ketika melakukan tawaf umrah.
 
Seorang daripada ahli keluarga dikenali sebagai Basir, berkata berita kematian mangsa dimaklumkan kepada ibu bapa mangsa, Rosnani Ibrahim dan Wan Kamaruzzaman Wan Mohamad, serta adik perempuan, Wan Nur Aqilah, menerusi ejen pengurusan umrah.
 
"Mereka reda dengan kejadian menimpa Wan Nur Athirah, Wan Nur Afifah dan Wan Muhammad Mahathir Rafiqi, mereka memutuskan untuk kembali ke Malaysia bagi melihat insan tersayang mereka buat kali terakhir.
 
"Ejen pengurusan umrah berkenaan memberitahu ketiga-tiga mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 11 pagi esok dan dibawa terus ke Kemaman.
 
"Jenazah tiga beradik berkenaan dibawa ke Hospital Kemaman malam ini untuk disimpan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Kapur, Binjai. Bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sudah selesai sebentar tadi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
 
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi tadi, Wan Nur Athirah, Wan Nur Afifah dan Wan Muhammad Mahathir Rafiqi maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Cherry Easter dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam parit di tepi Jalan Pekan-Kuantan.
 
Dua lagi penumpang yang bersama mereka, iaitu ibu saudara, Salmah Ibrahim, 58, serta anaknya, Nurul Aliani Zawawi, 25, cedera dan kini dirawat di HTAA.
 
Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan dari Melaka ke Kampung Padang Lalang Binjai, Kemaman, Terengganu, selepas melawat saudara mara di sana. Khamis lalu, mereka menghantar Rosnani, Wan Kamaruzzaman dan Wan Nur Aqilah ke KLIA.
 
 

Tiada ulasan: