HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 Disember 2017

Amanah yakin kekal kerusi Parit Buntar tanpa PAS

 
Ahli Parlimen Mujahid Yusof Rawa berkata penyokong PAS kecewa dengan keputusan parti Islamis itu bekerjasama dengan Umno. 


mujahid-yusof_undil_600


PETALING JAYA: Amanah mengakui pertandingan 3 penjuru tidak dapat dielakkan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), tetapi berharap gabungan pembangkang dapat mempertahankan kerusi Parit Buntar tanpa PAS bersama mereka.

“Perpecahan kepada 3 blok daripada 63% pengundi Melayu adalah situasi baharu bagi kita dalam pertandingan akan datang, tetapi saya bersedia dengan keadaan itu dengan minda untuk menang,” kata Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Naib presiden Amanah itu memenangi kerusi Parit Buntar semasa di bawah PAS dalam PRU 2008 dan 2013.

Pada PRU 2013, Mujahid bertanding kerusi Parit Buntar dan memenangi majoriti 8,476 undi.

Menurut undi.info, lebih 40,000 pengundi yang keluar mengundi di Parit Buntar pada PRU lalu, 68% adalah orang Melayu, 27% (Cina) dan 5% (India).

Kali ini beliau akan bertanding lagi, tetapi di bawah Amanah iaitu parti serpihan PAS yang dibentuk selepas berpecah dengan parti Islam itu.

Amanah kemudiannya menyertai pakatan pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) yang dibentuk pada September 2015. Gabungan itu juga terdiri daripada PKR, DAP dan PPBM.

Mujahid salah seorang daripada 6 ahli parlimen yang dipilih akan bertanding dalam PRU akan datang untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi.

Ini kali pertama Amanah mengambil bahagian dalam PRU.

Mujahid memberitahu FMT bahawa PAS mengeksploitasi ayat Al-Quran untuk kepentingan politik, seperti rang undang-undang persendirian untuk meningkatkan hukuman shariah.

Beliau berkata pendekatan politik Islam Amanah berbeza dengan PAS, mengatakan partinya lebih demokrasi sambil memuji nilai Islam “berbanding hanya menunggang agama tanpa memasukkannya ke dalam konteks”.

Katanya, beliau percaya demokrasi pada masa ini merupakan sistem pemerintahan terbaik dan sesuai dengan matlamat politik Islam untuk mewujudkan masyarakat lebih terbuka.

Beliau mengakui perpecahan pembangkang dengan PAS akan memberi kesan kepada pengundi Melayu, terutamanya di Parit Buntar kerana kawasan Parlimen itu kubu kuat PAS di Perak.

Bagaimanapun, beliau berkata blok baharu PPBM yang berpecah daripada Umno boleh membantu menampung kerugian daripada blok PAS.

Beliau juga berkata berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh pasukannya di Parit Buntar, penyokong PAS kecewa dengan keputusan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bekerjasama dengan Umno.

“Pengundi Pas juga berpecah kerana mereka tidak puas hati dengan kepimpinan Hadi dan mungkin memilih Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau menambah terdapat juga pengundi atas pagar yang tidak mengundi berdasarkan parti tetapi berdasarkan prestasi personaliti serta manifesto yang ditawarkan.

“Kami menang lebih 60% tetapi menjangkakan majoriti lebih rendah berbanding 2008 dan 2013,” katanya merujuk kepada tinjauan yang dilakukan oleh pasukannya.

Mengambil kira segala keadaan dan mempertimbangkan segala faktor pengundi, beliau berkata Amanah dan PH mempunyai peluang yang baik untuk terus mendapat undi majoriti Melayu, selain pengundi Cina dan India menunjukkan sokongan positif terhadap pembangkang berdasarkan keputusan PRU lalu.

Tiada ulasan: