Oleh Nur Atiqah Samad dan Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr
Mahathir Mohamad hari ini memohon maaf di atas segala kesalahan lampau
beliau, termasuk semasa menerajui negara selama 22 tahun.
Berucap merasmikan perhimpunan agung PPBM, Dr Mahathir bagaimanapun
tidak memerinci atau menyatakan permohonan maaf itu ditujukan kepada
siapa, justeru menimbulkan tanda tanya mengenai keikhlasannya berbuat
demikian.
“Saya ingin pohon ampun dan maaf jika terkasar bahasa dan tersinggung perasaan sesiapa.
“Saya seperti manusia lain tidak mungkin sunyi daripada berkata dan
melakukan kesalahan, bukan sahaja hari ini tetapi juga selama saya
berkecimpung dalam politik negara.
“Saya pohon maaf terhadap apa juga kesalahan saya selama itu,” katanya.
Pengerusi PPBM itu kerap didesak untuk memohon maaf di atas rekod
pemerintahannya yang dicalar dengan penangkapan musuh-musuh politik
termasuk pemimpin PKR dan DAP di bawah Ops Lalang.
Beliau juga dituduh bertanggungjawab di atas penahanan Datuk Seri
Anwar Ibrahim pada tahun 1998 selepas memecatnya daripada kerajaan dan
Umno.
Setelah keluar daripada Umno sendiri, Dr Mahathir menubuhkan PPBM dan kini menerajui Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkali-kali didesak oleh penyokong pembangkang untuk akur dan
memohon maaf di atas tindakan-tindakannya sebelum ini yang mengekang
kebebasan kehakiman, hak asasi manusia serta pembaziran, pemborosan dan
politik wang semasa pemerintahannya.
Namun beliau enggan memohon maaf sehingga hari ini.
Dr Mahathir dilihat mengubah nada demi keperluan untuk menggembeling
sokongan penyokong terhadap cubaannya menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak
pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang mesti diadakan sebelum Ogos
tahun ini.
Tindakan Dr Mahathir memohon maaf, walau secara umum, dilihat
bertujuan memenangi sokongan akar umbi PKR dan DAP yang masih tidak
mempercayai beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan