HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Disember 2017

Pesakit jantung pulang selepas orang ramai bantu bayar bil RM1.3 juta

 
Tok Manaf yang berusia 81 tahun mendapat perhatian media selepas keluarganya merayu orang ramai membantu membayar bil rawatan di Korea Selatan.


Abdul-Manaf-Mohd-Noh

PETALING JAYA: Warga emas yang menjadi perhatian media selepas keluarganya melancarkan kempen kutipan derma melalui Facebook dan GoFundMe bagi menanggung kos perubatannya di Korea Selatan, selamat pulang ke tanah air hari ini.

Mahfiz Abdul Manaf, anak lelaki kepada Abdul Manaf Mohd Noh berkata, bapanya dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut selepas tiba dari Seoul, hari ini.

Bekas jurutera yang lebih dikenali sebagai Tok Manaf itu sedang bercuti dengan anaknya di Seoul awal bulan ini, sebelum rebah pada hari ke-4 di sana dan dikejarkan ke hospital.

Hasil pemeriksaan doktor, warga emas berusia 81 tahun itu disahkan mengalami pembuluh jantung pecah dan terpaksa menjalani pembedahan jantung terbuka pada 4 Disember lalu dan satu lagi pembedahan susulan pada hari berikutnya kerana pendarahan dalaman.

Sejak itu, Tok Manaf dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital itu dan terpaksa bergantung kepada bantuan pernafasan serta dipantau pasukan pakar sakit jantung.

Kisah Tok Manaf mendapati perhatian media selepas nasibnya terkandas di hospital Korea tersebar di media sosial awal bulan ini.

Pembedahan jantung terbuka merupakan bidang kepakaran khusus dan mahal di Korea Selatan, menyebabkan kos rawatannya meningkat sehingga di luar kawalan, tambahan pada usia 81 tahun, beliau tidak lagi dilindungi insurans perubatan pelancongan.

Mahfiz berkata, beliau dan keluarganya berusaha mengumpulkan sumber kewangan dan mengambil pinjaman peribadi untuk membiayai bil hospital di Korea sebelum membawa bapanya pulang ke Malaysia.

“Apa yang bermula sebagai kutipan sumbangan kewangan di antara kaum keluarga sahaja, telah menjadi kempen di seluruh dunia untuk membawa bapa kami pulang ke tanah air.

“Orang ramai yang prihatin dan pemurah, baik dari dalam dan luar negara tampil memberi sumbangan dengan apa jua cara yang mereka mampu.”

Katanya, kos rawatan bapanya di hospital Korea selama 24 hari dan membawanya pulang ke Malaysia berjumlah kira-kira RM1.3 juta.

Beliau berterima kasih kepada bantuan dan sumbangan orang ramai, ahli keluarga, saudara mara, badan kebajikan, penyedia perkhidmatan perubatan dan Kedutaan Malaysia di Seoul.

“Bagi pihak bapa saya dan keluarga kami, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang telah banyak membantu dari semua aspek termasuk pandangan dan nasihat perubatan, bantuan pentadbiran, sumbangan kewangan dan sokongan emosi, termasuk mereka yang tidak putus-putus mendoakan bapa saya cepat sembuh dan segala urusan dipermudahkan. Sumbangan mereka sungguh bermakna dan amat kami hargai.”

Kempen kutipan derma itu ditutup serta-merta.

Akhbar New Straits Times sebelum ini melaporkan Tok Manaf yang tinggal di Petaling Jaya, menjaga isterinya yang menghidap penyakit Parkinson sehingga beliau meninggal dunia pada November 2016.

Anaknya membawa beliau bercuti di Korea supaya beliau dapat berehat dan tidak memikirkan arwah isterinya.

Tiada ulasan: