HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Disember 2017

Dr M: Mufti gagal sangkal ‘fatwa’ ekstrem bawa kepada Peristiwa Memali

 
Dr Mahathir berkata para mufti berdiam seribu bahasa seolah-olah mereka bersetuju dengan PAS.
 
 
mahathir-memali-1


SHAH ALAM: Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kegagalan para mufti menyangkal “fatwa” ekstrem membawa kepada Peristiwa Memali 1985 di Kedah.
 
Peristiwa itu menyaksikan 4 anggota polis dan 13 penyokong seorang guru agama, Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya, terkorban dalam operasi untuk menahan Ibrahim di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, kerana didakwa terlibat dalam kegiatan memecah-belahkan umat Islam.

“Apabila PAS dakwa bahawa orang yang tidak menyertai PAS adalah kafir, kenapakah perlu mufti-mufti tidak membetulkan kenyataan mereka? Mereka berdiam seribu bahasa seolah-olah mereka setuju dengan pendapat PAS.

“Ia tidak akan berlaku kalau awal-awal lagi mufti mencabar. Kenapakah ‘Amanat Hadi’ itu tidak disangkal oleh mereka?” katanya sewaktu ucapan penggulungan di mesyuarat agung tahunan pertama PPBM di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) hari ini.

Dr Mahathir merujuk kepada petikan ucapan yang dikaitkan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1981. Dalam amanat itu, Hadi didakwa mengatakan PAS menentang BN dan Umno kerana ia mengekalkan perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliah.

Kebetulan amanat itu menyusuli Revolusi Iran 1979, peristiwa yang dikatakan memberanikan golongan Islamis konservatif di merata tempat termasuk Malaysia.

Amanat itu dikatakan titik penting dalam politik orang Melayu kerana secara tidak langsung membawa kepada kafir-mengkafir, solat 2 imam dan pemulauan aktiviti masyarakat.

“Apa yang kita lihat ialah Peristiwa Memali yang mana pengikut Ibrahim Libya bunuh 4 orang polis kerana pada mereka polis adalah kafir yang bekerja dengan kerajaan kafir.

“Inilah hasil daripada ‘fatwa’ yang dikeluarkan oleh orang politik yang tidak ditangkis oleh mufti-mufti,” kata Dr Mahathir.

PAS sebelum ini menggesa kerajaan menyiasat semula tragedi Memali untuk memberi keadilan kepada semua pihak dan membersihkan nama mereka yang tidak bersalah.

Susulan gesaan itu, kerajaan mengumumkan akan meneliti cadangan penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) selepas maklum balas pelbagai pihak, termasuk PAS.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: