HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Disember 2017

Dr M tekad pulihkan pemisahan kuasa jika PH menang

 
Dr Mahathir yang pernah dipersalahkan kerana menjejaskan kuasa badan kehakiman berkata PPBM mahu kembalikan dasar di mana perdana menteri tidak boleh menguasai Parlimen dan mahkamah.


mahathir-mohamad-ppbm-speech-1

SHAH ALAM: Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad tekad memulihkan doktrin pemisahan kuasa jika Pakatan Harapan menang pilihan raya umum akan datang.

Bekas perdana menteri itu, yang pernah dipersalahkan kerana menjejaskan kuasa badan kehakiman, berkata PH akan kembalikan dasar di mana badan eksekutif tidak boleh menguasai badan legislatif dan badan kehakiman, termasuk keneutralan perkhidmatan awam.

“Pengasingan kuasa antara pembuat undang-undang, pelaksana, penghakiman akan dikembalikan, khususnya perdana menteri tidak boleh kuasai pentadbir dan kehakiman.

“Ketiga-tiga pihak ini tidak boleh campur tangan dalam urusan masing-masing,” katanya kepada 941 perwakilan PPBM sempena mesyuarat agung kali pertama parti itu di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) hari ini.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi PH, berkata antara langkah yang akan diambil termasuk melakukan melakukan perubahan dalam cara perlantikan para pegawai tinggi kerajaan tertentu, seperti penubuhan jawatankuasa Parlimen untuk meneliti kelayakan dan pelucutan.

“Ia untuk memastikan kelayakan mereka sebelum dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik. Jawatankuasa pemilih akan dianggotai wakil kerajaan dan parti lawan.

“Mereka juga tidak boleh dilucutkan jawatan sebelum dihadapkan kepada jawatankuasa pemilih untuk menentukan sebab-sebab lucutan dicadangkan,” katanya di hadapan 941 perwakilan.

Dr Mahathir berkata lembaga perubatan juga akan menentukan kesihatan seseorang pegawai yang dikatakan jatuh sakit sebelum membenarkan peletakan jawatan.

“Jika mereka jatuh sakit, sebuah medical board akan tentukan kesihatan mereka, sama ada benar-benar tidak boleh lagi bekerja. Perdana menteri tidak boleh tipu Agong berkenaan kesihatan pegawai atau hakim,” katanya.

Isu warga asing

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata PPBM mahu mengurangkan kehadiran pendatang asing daripada 7 juta orang kepada 2 juta orang, dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing melalui skim latihan dan galakan warga tempatan.

Pelaburan yang memerlukan pekerja asing akan dikurangkan, dan cukai tidak akan dikecualikan ke atas pengambilan pekerja asing.

Beliau menambah dasar industri negara akan utamakan peluang pekerjaan kepada warganegara, dan jika perlu, perlindungan akan diberi kepada industri baru sehingga berdaya saing.

Dasar mengutamakan warganegara juga diguna pakai untuk tenaga kerja dan pengurusan kilang daripada pelaburan langsung asing, melainkan ada sebab-sebab tertentu.

“Demikian juga bekalan bahan dan komponen ini jika terdapat dalam negara,” katanya, dan menambah pembelian tanah untuk mendirikan bandar untuk pendatang asing tidak termausk dalam takrif pelaburan langsung asing.

“Sementara kita bersedia menerima masuk warga baru dari negara lain, jumlahnya hendak tidak meninggkat tinggi sehingga mengubah secara radikal agihan peratusan warga negara berbagai kaum di Malaysia.”

Konvensyen hari ini merupakan yang mesyuarat agung pertama PPBM sejak penubuhannya diluluskan pada September 2016. PH sedang bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-14 yang perlu dipanggil selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.

Tiada ulasan: