HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Disember 2017

24.5 juta rakyat guna internet, hanya 18.3 peratus cari duit

DETIK DAILY



CYBERJAYA ― Hanya 18.3 peratus daripada rakyat Malaysia menggunakan sepenuhnya teknologi internet sedia ada untuk menjana pendapatan dan meningkatkan potensi perniagaan mereka, menurut Kajian Pengguna Internet 2017 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Ketua pegawai operasinya, Datuk Dr Mazlan Ismail berkata jumlah yang dianggarkan itu masih lagi terendah di kalangan aktiviti dalam talian lain walaupun 76.9 peratus atau 24.5 juta rakyat Malaysia adalah pengguna internet, mengatasi purata global.

“Kita mempunyai kira-kira 800 Pusat Internet 1Malaysia di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar untuk memudahkan tugas harian rakyat dan menjana pendapatan melalui perniagaan dalam talian.

Di samping itu, SKMM juga bekerjasama dengan Pos Malaysia untuk memudahkan dan membantu menghantar produk usahawan luar bandar ke negeri-negeri lain dan negara seperti Brunei dan Indonesia.

“SKMM akan terus memupuk semangat keusahawanan di kalangan komuniti terutama di kawasan luar bandar dengan memanfaatkan kemudahan capaian internet yang disediakan. Kita tahu beberapa kawasan  tidak mendapat liputan 4G seperti yang lain,” katanya kepada pemberita  selepas melancarkan  Seminar Kerjasama Penyelidikan 2017 di sini semalam.

Sebanyak 13 projek penyelidikan dari lapan universiti dipamerkan dengan penemuan penyelidikan interim berkaitan kesejahteraan maya, literasi digital dan rangka kerja institusi pada seminar ertemakan “Membuka Nilai Sosial Sosioekonomi Ekonomi Digital: Bekerjasama untuk Pertumbuhan dan Impak.

Mazlan berkata kajian itu juga meliputi 18 kategori aktiviti dalam talian, yang  menduduki tangga teratas dalam senarai ialah menggunakan Internet untuk berkomunikasi dalam pesanan teks (96.3 peratus responden), layari rangkaian sosial (89.3 peratus), tujuan belajar (67.6 peratus), berkaitan kerja (56.3 peratus),beli-belah dalam talian (48.8 peratus), perkhidmatan kerajaan (45.9 peratus), dan aktiviti kewangan (41.7 peratus).

Beliau berkata rakyat Malaysia juga melayari internet untuk mendapatkan maklumat, mendengar muzik, streaming video dan memuat naik audio, imej dan bahan bacaan.

Beliau berkata kajian itu yang bermula pada November tahun lepas dan berakhir pada Februari tahun ini menunjukkan bahawa seorang daripada setiap empat rakyat Malaysia tidak menggunakan Internet, kurang keyakinan dan minat ialah antara alasan utama tidak menggunakan internet.

Kajian Pengguna Internet 2017 telah menemu bual sejumlah 3,469 responden (2,402 pengguna Internet dan 1,067 bukan pengguna Internet) melalui sistem Temubual Melalui Telefon Berkomputer (CATI).

Dalam perkembangan lain, Mazlan meminta semua pihak tidak membuat spekulasi mengenai perkara itu sehingga pihak berkuasa selesai menjalankan siasatan mengenai dakwaan bahawa data peribadi berjuta-juta rakyat Malaysia telah diceroboh.

“Siasatan hampir selesai. Bagaimanapun, tidak ada apa yang membinbangkan mengenai isu ini.
“Tetapi portal media dalam talian yang melaporkan isu ini, saya ingin memberi nasihat, sebelum membuat spekulasi, pastikan maklumat itu sahih.  Tolong jangan membuat spkulasi yang tidak perlu, jika tidak, bersedia untuk menghadapi tindakan daripada SKMM ,” kata beliau. ― Bernama

Tiada ulasan: