DETIK DAILY
Oleh Zubaidah Ibrahim
Keindahan tutur kata dan kesantunan berbahasa telah memikat hati Mhitra
Subramaniam untuk mendalami bahasa Melayu pada peringkat ijazah sarjana
muda.
Gadis berusia 23 tahun ini mula jatuh cinta terhadap bahasa Melayu sejak
di bangku sekolah. Dia kemudiannya bertekad untuk menyambung pengajian
ke menara gading yang mengkhususkan pada jurusan Bahasa Melayu selepas
mengambil subjek tersebut di tingkatan enam.
“Saya bersekolah di sekolah kebangsaan begitu juga sekolah menengah
kebangsaan. Bahasa pengantar yang digunakan dalam pengajaran dan
pembelajaran ialah bahasa Melayu dan saya juga banyak berinteraksi
menggunakan bahasa tersebut.
“Pergaulan dengan kawan-kawan kaum Melayu juga turut membantu saya untuk
menambah penguasaan kosa kata,” kata pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana
Muda Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu), Fakulti Bahasa Moden dan
Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor itu.
Tambah Mhitra, walaupun sejak kecil telah didedahkan dengan bahasa
Melayu tidak bermakna dia mengetepikan bahasa ibundanya sendiri, iaitu
bahasa Tamil.
Semasa di rumah, anak sulung daripada dua beradik ini akan bertutur
dengan ahli keluarga dalam bahasa Tamil. Dia juga mengikuti kelas khas
untuk mendalami dan menguasai bahasa tersebut.
Sehubungan itu, dia boleh menulis, membaca dan bertutur dengan fasih dalam bahasa Tamil.
Ketika anak gadis itu menyuarakan hasratnya untuk melanjutkan pengajian
dalam bidang Bahasa dan Linguistik Melayu, dia mendapat sokongan padu
daripada keluarga dan guru-guru.
“Saya berasakan bahasa Melayu ini sungguh indah apatah lagi kedudukannya
sebagai bahasa kebangsaan. Maka, ia wajar dipelajari serta dikuasai
dengan baik.
“Setelah itu, barulah mempelajari bahasa asing, tetapi realiti sekarang
sungguh menyedihkan apabila orang Melayu sendiri tidak berbangga dengan
bahasa yang menjadi identiti mereka.
“Kebanyakan golongan muda lebih cenderung untuk mengagungkan bahasa
Inggeris dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua,” tuturnya
yang berasal dari Klang.
Baru-baru ini Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim
menegaskan institusi pendidikan di negara ini perlu melaksanakan semula
pengajaran sebutan bahasa Melayu yang betul bagi memastikan para pelajar
fasih dan menguasai bahasa kebangsaan itu dengan baik. Beliau turut
menyatakan kebimbangan dengan senario semasa iaitu budaya meminjam
bahasa asing dan ‘rojak bahasa’ yang berlaku secara berleluasa.
Sementara itu, Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan
Komunikasi, UPM, Dr. Norazlina Mohd. Kiram berkata, bukan mudah untuk
mengajar bahasa Melayu pada masa kini, terutamanya dalam kalangan
generasi muda kerana kebanyakan mereka tidak menghargai status bahasa
itu sebagai bahasa kebangsaan.
Justeru itu, mereka tidak rasa bersalah jika menggunakan bahasa rojak,
slanga atau percampuran kod dalam komunikasi seharian termasuklah dalam
media massa.
“Golongan profesional dilihat lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris
dalam kebanyakan urusan sehingga ada yang berasa janggal apabila
bertutur dalam bahasa Melayu
Kursus
“Generasi muda pula beranggapan ketidakcekapan bertutur dalam bahasa
Melayu bukanlah satu isu besar kerana ramai rakyat Malaysia yang pincang
berbahasa Melayu meskipun sudah menetap di Malaysia berpuluh-puluh
tahun lamanya,” jelasnya yang bertugas sebagai pensyarah hampir 17
tahun.
Ujar ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, meskipun seseorang belajar
subjek bahasa Melayu sejak sekolah rendah sehingga melanjutkan pengajian
pada peringkat universiti hakikatnya masih ramai golongan muda yang
tidak terampil berbahasa Melayu.
Ada dalam kalangan mahasiswa kekok bertutur dan berasa tertekan apabila
diminta membentang tugasan dalam bahasa Melayu sepenuhnya.
Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi telah
memperkenalkan kursus Keterampilan Berbahasa Melayu di bawah kurikulum
baharu bagi memastikan mahasiswanya cekap dan mahir berbahasa Melayu.
Ini berpunca daripada sikap dan mentaliti sebahagian besar masyarakat
yang beranggapan bahawa bahasa Melayu bersifat kekampungan dan tidak
mempunyai nilai ilmu yang tinggi untuk bersaing dengan bahasa dunia yang
lain.
“Tidak keterlaluan saya katakan bahawa bahasa Melayu akan merempat di
bumi sendiri dan sentiasa mengharapkan simpati daripada rakyatnya untuk
terus kekal dimartabatkan jika usaha mengangkat darjatnya tidak
dilakukan dengan bersungguh-sungguh,” tegasnya.
Norazlina berpendapat, dalam memastikan bahasa Melayu terus utuh sebagai
bahasa negara bangsa, semua pihak terutamanya pemimpin yang juga
penggubal dasar mesti menghayati slogan, Bahasa Jiwa Bangsa.
Bahasa Melayu ialah lambang jati diri bangsa Malaysia. Selain itu,
rakyat mahu melihat pemimpin mendahului mereka dalam apa jua perkara
seperti slogan, Kepemimpinan Melalui Teladan.
“Begitu juga dalam seminar dan persidangan perlu ditekankan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi,” terangnya.
Beliau juga menyarankan agar pihak kerajaan memperbanyakkan aktiviti
kebahasaan pada peringkat sekolah dan universiti dengan menawarkan
hadiah setimpal seperti program lain.
Jati diri
Isu tersebut turut mendapat perhatian seorang mahasiswa, Mohd. Mustaqim
Mat Hassan, 23, yang berpendapat, isu tersebut melibatkan jati diri
seseorang.
“Saya lihat ramai anak muda masa kini yang terpengaruh dengan bahasa dalam laman sosial dan cukup teruja menjadi jaguh siber.
“Golongan sebegini sangat lemah jati dirinya dan tidak berasa bimbang
atau sedih melihat bahasa ibunda dipijak serta diperlekehkan.
“Sikap tidak ambil berat akan kepentingan bahasa ini menyebabkan mereka
tidak menguasai kosa kata yang betul dan mengambil jalan mudah dengan
menggunakan percampuran kod dalam pertuturan mereka,” ujar pelajar tahun
akhir Ijazah Sarjana Muda (Bahasa dan Linguistik Melayu), Fakulti
Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan