HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Disember 2017

Apa rahsia Pulau Pinang pikat pelaburan tempatan dan asing?


Roketkini.com

Di sebalik tohmahan fitnah yang sering dihadapi Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang, negeri itu terus memacu pertumbuhan ekonomi memberangsangkan dengan peningkatan pelaburan dari dalam dan luar negeri.

Dari Januari sehingga September 2017, Pulau Pinang berjaya menarik pelaburan sebanyak RM9.9 bilion berbanding RM4.3 bilion yang dicatatkan sepanjang tahun 2016 dengan peningkatan sebanyak 130 peratus, iaitu nilai kedua tertinggi di seluruh negara dalam sektor pembuatan.

Daripada RM9.9 bilion tersebut, sebanyak RM1.9 bilion pelaburan tempatan manakala RM8 bilion pelaburan asing.

Selain itu, Pulau Pinang memiliki syarikat pengeksport terbesar di Malaysia iaitu Western Digital yang menyumbang RM20 bilion atau 2.3 peratus niai pada tahun 2017 daripada jumlah keseluruhan eksport Malaysia.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, kejayaan ini merupakan hasil komitmen tinggi dan daya tahan yang ditonjolkan semua pihak termasuk kerajaan negeri dalam memastikan keberlangsungan dan peningkatan pelaburan negeri itu.

“Daripada RM9.9 bilion itu, RM8 bilion adalah pelaburan asing, manakala pelaburan tempatan (RM1.9 bilion), oleh itu, kini tidak akan ada lagi mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab mendakwa terdapat pelabur yang lari atau kilang tutup di Pulau Pinang.

“(Dan) Broadcom pula menyumbang RM70 bilion menjelang 2018 nanti atau 8 peratus daripada jumlah eksport negara, menjadikan kedua-duanya menyumbang 10.3 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport dalam negara,” katanya dalam Majlis Sambutan Hari Krismas dan Tahun Baru di Pejabat PDC semalam lapor Buletin Mutiara.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, meskipun negeri itu dilanda bencana terburuk pada 4 dan 5 November lalu, Pulau Pinang Pulau Pinang mampu bangkit semula hasil semangat dan kerjasama kuat semua pihak khususnya agensi-agensi berkaitan dan rakyat.

“Tentunya cabaran paling getir yang dihadapi oleh kita semua tahun ini adalah kejadian banjir besar dan ribut pada 4 dan 5 November lalu.

“Kerajaan Negeri juga perlu menghadapi perbelanjaan luar jangka bagi membolehkan kita (membuat pembayaran paling tinggi dalam sejarah Malaysia sebanyak RM700 (secara one-off) kepada mangsa-mangsa bencana baru-baru ini.

“Meskipun berlakunya bencana alam paling teruk dalam sejarah negeri, Pulau Pinang masih mampu bangkit semula serta pulih seperti sedia kala dalam tempoh yang singkat, dan situasi ini menambahkan keyakinan para pelabur asing,” kata Guan Eng.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Pengurus Besar PDC, Dato’ Rosli Jaafar dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee. – Roketkini.com - Kredit foto: Buletin Mutiara


Tiada ulasan: