SIBU: Berang gaji lambat dibayar, seorang lelaki berusia awal 30-an
bertindak kasar dengan memukul anak majikannya dan rakan sekerja.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zailani Amit berkata lelaki yang bekerja
sebagai buruh binaan itu juga turut membakar kereta rakan sekerjanya itu
selepas bertindak cuba mententeramkan suspek.
Kejadian berlaku pada Sabtu, jam 3.50 petang di hadapan sebuah restoran di Jalan Aman, di sini.
Zailani berkata ketika kejadian tiga pekerja binaan itu sedang menanti bayaran gaji oleh majikan.
Bagaimanapun, suspek dikatakan berang selepas dimaklumkan oleh anak
majikannya yang berusia 24 tahun mengenai kelewatan pihak syarikat
membayar gaji kepada pekerja untuk bulan ini.
Seorang rakan suspek yang berusia 35 tahun cuba menenangkan suspek,
namun dia terus mengamuk dengan memukul isteri rakannya itu dan anak
majikannya.
Dia juga turut membakar kereta Perodua Kancil milik rakannya sebelum melarikan diri.
Tujuh anggota balai Bomba dan Penyelamat Sibu diketuai Pegawai Bomba
Kanan Dua, Tahir Tuah bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima
panggilan kecemasan.
Kenderaan terbabit terbakar hampir 85 peratus dan nilai kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan mencecah RM12,000.
Kes masih disiasat dan polis sudah mengenalpasti identiti suspek dan usaha mengesannya sedang giat dilakukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan